Sabtu, 12 Januari 2019 | 10:22pm
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli. - Arkib NSTP

Sasar lahir 200,000 usahawan baharu

KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Usahawan menyasarkan seramai 200,000 usahawan baharu akan dilahirkan sepanjang penggal pertama pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata daripada jumlah itu, 50,000 usahawan baharu akan dilahirkan setiap tahun dengan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) serta lepasan universiti.

Beliau berkata, mereka akan dibantu dan dibimbing melalui skim mikro kredit yang diperkenalkan daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

“Ramai usahawan mendapat bantuan pinjaman namun tidak berdaya untuk teruskan perniagaan sekali gus memberi kerugian kepada kerajaan.

“Justeru, walaupun dana tidak banyak, namun kita akan menyediakan peruntukan kecil supaya mereka terus berusaha memajukan perniagaan. Kita bukan setakat mahu beri pinjaman, tapi bantu bimbing mereka sehingga berjaya.

“Kita akan bantu tanpa mengira sektor perniagaan apa yang mereka mahu ceburi seperti makanan, pembuatan, serta ukiran. Bimbingan akan diberikan bagi memantapkan kemahiran mereka sehingga mampu menembusi pasaran luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Ulang Tahun Ke-4 Anugerah Tokoh NGO Islam, di sini malam ini. Turut hadir, Presiden Persatuan Ayahanda Anakanda Malaysia (PAAK), Datuk Suzainal Adnan Sukri.

Pada majlis itu, seramai 300 penerima anugerah daripada 22 badan bukan kerajaan (NGO) bersekutu dari negeri ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta berkata, bagi mencapai sasaran itu juga, kementerian mengambil pendekatan setiap Parlimen perlu menyumbang seramai 200 usahawan baharu setiap tahun.

“Dalam kerajaan PH, kita memberi tumpuan kepada kumpulan B40 dalam usaha merangsang Bumiputera. Namun jika bukan Melayu memerlukan bimbingan namun tergolong dalam B40, kita juga akan bantu mereka,” katanya.

Berita Harian X