Ahad, 13 Januari 2019 | 10:27am
GAMBAR fail, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Che Rani Che Din

Syor pejabat, tempat kerja jadi kawasan larangan merokok

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan diminta memperluaskan kawasan larangan merokok di pejabat dan kawasan tertutup di tempat kerja khususnya tandas.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata majikan perlu memperhalusi perkara ini sebagai galakan kepada gaya hidup sihat dalam kalangan pekerja.

“Disamping kita memberi kebebasan kepada perokok untuk merokok, perlu juga ada had kawasan.

“Saya dapati ramai pekerja yang menggunakan tandas pejabat untuk merokok, sekali gus memberi kesan kepada bukan perokok yang menggunakan kemudahan yang sama.

“Justeru itu, majikan perlu menyediakan tempat khas bagi mereka supaya orang lain tidak terjejas,” katanya selepas melepaskan peserta larian program My Jantungku 2019, di sini, hari ini.

Lebih 2,000 peserta menyertai program anjuran Pertubuhan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOSHPA).

Turut hadir, Presiden MOSHPA, Datuk Dr Kanagaraja Raman dan Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Malaysia (JKKP) Putrajaya, Zailee Dollah.

Selain itu, Lam Thye, juga berkata inisiatif larian ini berupaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja berhubung kepentingan menjaga jantung yang menjadi pembunuh nombor satu negara.

“Saya anggap aspek penjagaan jantung dan pengurusannya satu perkara penting justeru kesedaran mengenainya sentiasa diperlukan.

“Gaya hidup yang sihat dalam kalangan pekerja membawa kepada peningkatan produktiviti,” katanya.

Berita Harian X