Ahad, 13 Januari 2019 | 12:21pm
Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (tengah) mengadakan perbincangan dengan penggiat industri perhotelan Langkawi di Pantai Chenang, Langkawi. -Foto Ihsan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya

Daftar segera, elak tindakan

LANGKAWI: Pemilik premis penginapan pelancongan bakal berhadapan tindakan jika gagal mendaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum akhir Mac ini.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata premis penginapan itu termasuk hotel, resort, rumah tumpangan, asrama dan rumah inapan di seluruh negara.

“Justeru saya menyeru supaya pihak terbabit dapat memanfaatkan pengecualian fi pendaftaran yang sedang berlangsung sehingga Mac ini.

“Jika selepas tarikh itu, tindakan akan diambil,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama penggiat industri perhotelan Langkawi di Pantai Chenang di sini, hari ini.


Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (empat dari kanan) bersama penggiat industri perhotelan Langkawi di Pantai Chenang, Langkawi. - Foto ihsan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya

Sebelum ini, media melaporkan kementerian itu mengecualikan bayaran pendaftaran berjumlah RM70 kepada semua pengusaha premis pelancongan mulai 1 Januari hingga 31 Mac ini.

Justeru, sejumlah 1,700 pengusaha yang belum berdaftar disaran supaya mengambil peluang untuk mendaftar premis mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Mengulas isu lain, Mohamaddin berkata, kementerian mempelawa agensi pelancongan kerajaan dan swasta untuk turut serta dalam International Tourismus-Boerse (ITB) 2019 di Berlin, Jerman, Mac ini.

“Ia adalah acara promosi pelancongan terbesar dunia dan Malaysia adalah rakan rasmi negara untuk penganjurannya.

“Peluang sebegini tidak seharusnya dilepaskan badan promosi pelancongan termasuk pihak swasta kerana ia adalah platform promosi terbesar pelancongan dunia,” katanya.

Berita Harian X