Ahad, 13 Januari 2019 | 1:57pm
SHAMSUDIN Abbas. NSTP/Noor Atiqah Sulaiman
SHAMSUDIN Abbas. NSTP/Noor Atiqah Sulaiman

Bantuan untuk veteran tentera perlu diperhalusi

PUTRAJAYA: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Wilayah Persekutuan (PVATM WP) Putrajaya menyambut baik hasrat kerajaan untuk memperuntukkan RM500,000 bagi kebajikan bekas tentera, namun pembahagian kewangan itu masih perlu diteliti.

Yang Dipertua PVATM WP, Datuk Shamsudin Abbas, berkata pemberian peruntukan itu adalah satu perkara positif kerana akhirnya perjuangan persatuan itu mendapat perhatian kerajaan.

“Alhamdulillah, akhirnya perkara yang sudah lama kita perjuangkan dibawa ke tengah. Namun, masih banyak yang perlu diperhalusi kerana kita masih belum membuat sebarang pecahan peruntukan atau jenis bantuan yang akan diberikan kelak.

“Antara perkara yang boleh diperhalusi adalah pelarasan pencen dan bantuan daripada sektor kesihatan. Kita akan beri bantuan kepada perkara yang perlu diberi keutamaan seperti hal kesihatan.

“Kita faham kerajaan kini mempunyai kekangan kewangan, jadi jika tidak dapat 100 peratus pun tidak apa asalkan hal penting diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama PVATM WP Putrajaya di sini, hari ini.

Shamsudin berkata, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sudah menjangkau 320,000 orang dan dijangka dalam setahun, seramai 3,000 hingga 4,000 anggota dan pegawai bersara atau keluar daripada perkhidmatan.

“Istilah veteran tentera ini adalah semua bekas tentera yang tidak diberhentikan kerana masalah disiplin. Jika mereka diberhentikan atau diminta berhenti kerana masalah disiplin, kita tidak panggil sebagai veteran tetapi hanya tentera biasa,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kertas Putih Pertahanan akan dibentangkan oleh Kementerian Pertahanan di Parlimen pada September ini di mana antara perkara yang diluluskan oleh kerajaan adalah bantuan kewangan kepada persatuan bekas tentera sebanyak RM500,000 yang diagihkan kepada 140 persatuan bekas tentera.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X