Ahad, 13 Januari 2019 | 2:27pm

Wan Azizah galak korporat bantu tambah dana sokong atlet paralimpik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru sektor korporat, swasta dan orang ramai menyokong usaha Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengumpul dana awam bagi persiapan atlet paralimpik ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu perlu disokong kerana MPM menjalankan program mengumpul dana awam atas usaha sendiri kerana tahu situasi semasa kerajaan yang berdepan sumber terhad.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MPM atas segala usaha yang telah dibuat bagi mempromosi pergerakan sukan para di negara ini.

"Pihak kerajaan sentiasa memberi sokongan dan menyediakan pelbagai sumber mengikut kemampuan untuk sentiasa menyokong pergerakan sukan para di Malaysia," katanya berucap pada Majlis Wheel Walk Fun Run sempena Sambutan Hari OKU (Orang Kurang Upaya) peringkat Kebangsaan 2018 serta pelancaran program Tambah Emas di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Addiq Syed Abdul Rahman, penaung MPM Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Program Tambah Emas yang menyasarkan kutipan RM5 juta sehingga tahun 2020 membolehkan orang ramai menyumbang menerusi platform e-dompet di aplikasi Boost atau dalam laman web MPM.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata Sukan memberi peluang kepada golongan OKU untuk berani berusaha dan mencuba, bersemangat tinggi, bersosial dan menyerlahkan keyakinan serta keupayaan diri.

"Saya juga sangat bersyukur kerana golongan OKU telah bangkit dengan gigih dan jaya, untuk menghadapi pelbagai halangan dan rintangan, demi mencapai kecemerlangan dalam sukan sama ada dalam negara mahupun luar negara," katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Dr Wan Azizah berkata, kementeriannya akan melaksanakan beberapa program untuk OKU tahun ini.

Katanya, ini termasuk pelaksanaan dua kajian yang menumpukan kepada peluang pekerjaan serta sistem sokongan bagi penjaga kepada OKU.

Beliau berkata, sehingga 31 Oktober lalu, seramai 488,948 OKU telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang merangkumi 1.5 peratus daripada jumlah penduduk negara.

WAN Azizah melancarkan logo dan laman sesawang ‘TAMBAH EMAS’ pada Majlis Wheel -Walk Fun Run sempena Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan turut bersama Tun Jeanne (dua dari kanan), Syed Saddiq dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasarudin SM Nasimuddin (kiri) di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
WAN Azizah melancarkan logo dan laman sesawang ‘TAMBAH EMAS’ pada Majlis Wheel -Walk Fun Run sempena Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan turut bersama Tun Jeanne (dua dari kanan), Syed Saddiq dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasarudin SM Nasimuddin (kiri) di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X