Isnin, 14 Januari 2019 | 9:23pm

Menteri jadi 'promoter' tarik perhatian netizen

KUALA LUMPUR: Video memaparkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempromosikan Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 dengan menjadi ‘promoter’ menarik perhatian netizen.

Video berdurasi dua minit yang dimuat naik menerusi Facebook, memaparkan Loke mempromosikan pas perjalanan itu ketika menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) sebelum transit dan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT).

Dalam video itu, Loke dilihat menaiki MRT di Stesen Kajang sebelum menaiki LRT di Pasar Seni menuju ke pejabat Prasarana Malaysia Berhad di Bangsar.

Sepanjang perjalanan itu, beliau mengedarkan risalah mengenai My100 dan My50 kepada penumpang selain bertanya kepada mereka sama ada sudah mendapatkan pas berkenaan atau sebaliknya.

Kehadiran Loke juga menyebabkan penumpang teruja dan ada antara mereka yang mengambil kesempatan bergambar dengan menteri itu.

Video terbabit hingga kini ditonton seramai 452,000 pengguna media sosial itu dan mendapat 4,184 perkongsian sejak ia dimuat naik pada Khamis lalu.

“Tahniah YB, Menteri yang paling baik! Saya harap YB dapat menaik taraf sistem KTM (Keretapi Tanah Melayu Berhad) juga,” kata pengguna Facebook, Muhammad Yusuf.

“Terbaik YB Kami memerlukan lebih ramai menteri seperti YB yang memahami kehendak rakyat,” kata Muhd Izzat.

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) menaiki LRT di Pasar Seni menuju ke pejabat Prasarana Malaysia Berhad di Bangsar.
Berita Harian X