Isnin, 14 Januari 2019 | 9:43pm
KETUA Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam - Foto Sairien Nafis

Mukim Taiping, Bukit Gantang diwarta wabak rabies

IPOH: Mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Perak hari ini diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila berikutan empat sampel diambil di kawasan itu mendapati ianya positif wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, berkata ujian dilakukan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selepas menerima maklumat pengadu dari Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping, 31 Disember lalu.

Beliau berkata, pengadu berkenaan melaporkan bahawa dua ahli keluarganya digigit oleh seekor anjing miliknya pada 25 Disember dan anjing itu telah dilupuskan oleh pengadu pada 3 Januari.

"Pada 4 Januari, sampel otak daripada anjing itu telah diuji dan disahkan positif terhadap penyakit rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh.

"Survelan dan persampelan telah dijalankan serta-merta di dalam lingkungan dua kilometer radius dari foci jangkitan bagi mengetahui status perebakan penyakit rabies di kawasan berkenaan.

"Sebanyak tiga lagi sampel (daripada anjing berkeliaran) telah dikesan positif daripada 30 sampel yang diambil pada 11 Januari lalu iaitu di sekitar kawasan Tupai Business Centre dan Pekan Sri Boyan.

"Pewartaan kawasan jangkitan rabies dilakukan pada 14 Januari (hari ini). Pewartaan ini membabitkan Mukim Taiping dan Mukim Bukit Gantang," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Berita Harian X