Isnin, 14 Januari 2019 | 11:53pm
DATUK Redzuan Kushairi - Foto Eizairi Shamsudin
DATUK Redzuan Kushairi - Foto Eizairi Shamsudin

Kukuh hubungan negara ASEAN elak dominasi kuasa besar

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu lebih komited memperkukuhkan hubungan dengan negara-negara ASEAN bagi membantu seluruh rantau ini berkembang dengan lebih positif.

Bekas duta Malaysia ke Uzbekistan, Datuk Redzuan Kushairi, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus menilai semula formula yang digunakan bagi memastikan kekuatan negara-negara terbabit lebih stabil.

“Ramai tertanya, adakah Dr Mahathir akan kembali menggunakan konsep dan idea lama semasa pentadbirannya pada era 80 dan 90-an?

“Kita kena lihat isu ini secara meluas kerana dunia sudah berubah dan hubungan antara negara kini harus diperkuatkan menerusi pelbagai struktur kerjasama.

“Hubungan dan jalinan kerjasama perlu diperluaskan dengan negara jiran supaya kita tidak berpecah-belah dan menjadi mangsa dominasi kuasa-kuasa besar lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Forum Isu Nasional Help University 2019, hari ini.

Selain beliau, lima speaker turut berkongsi pandangan berhubung isu pembentukan Malaysia Baharu iaitu Profesor Madya Sains Politik Universiti John Cabot, Dr Bridget Welsh, Patrick Tay, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, bekas ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Tun Ismail, dan Timbalan Naib Canselor Help University, Datuk Dr Zakaria Ahmad.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Luar Negeri memperbaiki kualiti kedutaan Malaysia di luar negara supaya perkhidmatan terbaik dapat diberikan secara berterusan.

“Sesetengah kedutaan tidak memiliki kakitangan dan kelengkapan yang mencukupi malah kita kekurangan tenaga pakar atau ‘area specialist’ yang arif akan selok-belok sesebuah lokasi.

“Justeru, kementerian boleh bekerjasama dengan pakar akademik universiti dan menggunakan sumber yang diperoleh untuk mencari atau melatih tenaga pakar yang diperlukan,” katanya.

Berita Harian X