Selasa, 15 Januari 2019 | 4:10pm
Kon Yeow (kanan) bersama Jaseni pada sidang media berhubung isu tarif air domestik Pulau Pinang, hari ini. - NSTP/Ramdzan Masiam
Kon Yeow (kanan) bersama Jaseni pada sidang media berhubung isu tarif air domestik Pulau Pinang, hari ini. - NSTP/Ramdzan Masiam

Kerajaan Pulau Pinang mahu kurangkan subsidi air

GEORGETOWN: Kerajaan negeri, menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), dijangka mengurangkan antara 20 hingga 30 peratus subsidi air domestik bagi memastikan pembangunan infrastruktur air di negeri itu dapat dilaksanakan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata ketika ini PBAPP membelanjakan lebih RM80 juta setahun bagi subsidi air, membabitkan keperluan 1.76 juta pengguna.

Beliau berkata, pengurangan subsidi air domestik itu adalah termasuk dalam cadangan semakan tarif air yang dibuat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), baru-baru ini.

“Pengurangan subsidi air domestik ini adalah untuk meningkatkan pendapatan daripada penggunaan perniagaan, untuk membiayai projek kejuruteraan bekalan air yang dirancang.

“PBAPP akan terus memberi subsidi kepada penggunaan air domestik, namun jumlah itu berkurangan dan ia adalah dalam amaun yang berpatutan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa.

Sementara itu, Jaseni berkata, pemberian subsidi kepada pengguna air domestik sudah dilakukan sejak penubuhan PBAPP pada 1973.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu semakin meningkat setiap tahun dan ia menjadi tidak mampan kepada sistem pengurusan air Pulau Pinang.

“Setiap tahun kos meningkat dan perbelanjaan subsidi semakin bertambah. Kita mahu mengelakkan daripada terpaksa berhutang kemudian hari.

“Malah dalam model penstrukturan semula juga, Kerajaan Pusat mahu semua syarikat pengendali air bebas daripada subsidi, tetapi ia perlu dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Semalam, kerajaan negeri menjelaskan permohonan semakan tarif air yang dibuat kepada Kerajaan Persekutuan adalah bagi membiayai projek kejuruteraan bekalan air yang sudah dirancang.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, PBAPP merancang untuk melabur RM501 juta dalam lima projek utama bekalan air bagi manfaat rakyat Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun.

Minggu lalu, Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang dijangka akan menaikkan sehingga lebih 20 peratus kadar tarif air, selaras penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air seluruh negara.

Berita Harian X