Selasa, 15 Januari 2019 | 5:34pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tiga dari kiri) dan isteri hadir pada Majlis Istiadat Pemasyuran Sultan Pahang Ke-6 di Istana Abu Bakar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kerajaan Pusat jamin terus bekerjasama dengan kerajaan negeri

PEKAN: Kerajaan Pusat memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan kerajaan Pahang di bawah naungan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang baru dimasyhurkan hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata pemasyhuran Al-Sultan Abdullah itu akan dapat mengukuhkan lagi hubungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang.

“Rakyat Pahang pastinya bersyukur kerana memperoleh seorang Sultan yang adil dan sentiasa menyanjungi rakyat...saya secara peribadi amat mengenali baginda dan sudah mengenalinya sejak 30 tahun lalu.

“Saya berharap hubungan ini terus kekal dan turut berbangga kerana baginda mewarisi takhta daripada Paduka Ayahandanya (Sultan Ahmad Shah) dan prosesnya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemasyhuran Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, berkata, perwatakan dan personaliti Al-Sultan Abdullah yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat akan memberi banyak faedah kepada pembangunan negeri Pahang.

Beliau berkata, pengalaman dan ilmu pengetahuan baginda dalam pelbagai bidang terutama agama, teknologi maklumat juga memberi kelebihan kepada generasi muda di bandar dan luar bandar.

“Malah, dalam titah ucapan sulung baginda juga boleh sudah memaklumkan bahawa falsafah dan prinsip baginda untuk terus mendampingi rakyat seperti legasi Paduka Ayahandanya iaitu `Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.

“Justeru, sebagai generasi muda, kita yakin pemerintahan Al-Sultan Abdullah akan memberi keuntungan golongan berkenaan dalam pelbagai aspek pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pula menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat menyaksikan seorang putera raja yang dikenalinya sejak kecil kini bergelar Sultan.

Di awal pembabitannya dalam bidang nyanyian, Siti Nurhaliza berkata, dia sering diundang untuk menyerikan majlis anjuran kerajaan negeri yang ada di antaranya turut dihadiri Al-Sultan Abdullah atau Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

“Dan sebenarnya baginda (Al-Sultan Abdullah) juga berkebolehan menyanyi... kami pernah berduet bersama dan lagu pilihan baginda adalah lagu balada seperti `Sampai Hati’ oleh kumpulan Spring,” katanya.

Beliau yang hadir ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa juga mengakui dirinya meminati keperibadian Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang disifatkan begitu berkebolehan.

“Tunku Azizah bukan hanya berkebolehan dalam bidang masakan, tetapi juga handal mengait, mengemas dan juga amat meminati seni tenun Pahang serta dikenali dengan sikap penyayang.

“Saya menyanjungi keperibadian baginda (Tunku Azizah) dan rasa bertuah apabila menjadi salah seorang pemilik buku resipi baginda,” katanya.

Sebagai anak jati Pahang, Siti Nurhaliza berkata, semua lapisan masyarakat di negeri ini bertuah kerana memiliki Sultan yang sudah dikenali dengan sikap adil, prihatin dan mewarisi legasi ayahandanya yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Berita Harian X