Selasa, 15 Januari 2019 | 6:34pm
ABDUL Rahim Noor ketika sidang media khas mengenai pemansuhan hukuman mati di Kelab SUltan Selangor. - NSTP/Eizairi Shamsudin
ABDUL Rahim Noor ketika sidang media khas mengenai pemansuhan hukuman mati di Kelab SUltan Selangor. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kerajaan wajar buat referendum sebelum putuskan hapus hukuman mati

KUALA LUMPUR: Kerajaan sewajarnya mengadakan pungutan suara di peringkat nasional atau referendum terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan menghapuskan hukuman mati.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, berkata keputusan menghapuskan hukuman itu adalah satu keputusan yang amat besar dan tidak wajar membelakangkan pendapat umum sebelum perkara itu diputuskan sepenuhnya pada sidang di Dewan Negara kelak.

“Saya melihat perkara ini sebagai perkara yang besar dan penting, justeru pandangan umum harus di dengar.

“Sepatutnya keputusan yang sebesar ini, mesti ada pungutan suara daripada masyarakat di negara ini.. saya yakin 60 sehingga 80 peratus rakyat bersetuju hukuman mati dikekalkan.

“Saya merayu pada kerajaan untuk mengadakan referendum sebagai mengambil kira hak rakyat berhubung pandangan mereka mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media khas di Kelab Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Sidang media turut disertai tiga pengamal undang-undang, Adnan Seman, Faidhur Rahman Abdul Hadi dan Christine Teng.

Abdul Rahim berkata beliau tidak nampak keseimbangan antara pihak yang menuntut hukuman itu dihapuskan dalam membela hak waris kepada mangsa yang dianiaya penjenayah contohnya dalam kes bunuh.

“Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Lawyers for Liberty, Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) antara yang lantang mahu hukuman mati dihapuskan dengan alasan hak asasi manusia ke atas pesalah.

“Apa pula hak mangsa yang dibunuh? Hak keluarga mangsa? Hak orang yang hilang tempat bergantung apabila mangsa dibunuh? Saya tidak nampak nasib mereka itu dibela oleh ‘puak-puak’ berkenaan.

“Jadi perkara ini menjadi tidak adil.. mereka yang membunuh wajar dihukum bunuh,” tegas beliau.

Sementara itu, menurut Adnan, menghindarkan kejadian ‘salah jatuh hukum mati’ ke atas mereka yang tidak bersalah tidak wajar dijadikan alasan untuk menghapuskan hukuman itu.

“Ini kerana ia tidak sama sekali pernah berlaku atau peratusannya amat rendah kerana proses pembuktian di mahkamah melalui proses yang amat teliti dan ketat.

“Malah ada pesalah yang dibebaskan oleh hakim kerana timbul keraguan semasa proses pembuktian di mahkamah.

“Justeru, mengapa mereka sibuk mahu membela nasib penjenayah yang mahu dijatuhkan hukuman mati sedangkan hukuman itu sudah terbukti menjadi hukuman yang paling ditakuti dan boleh mencegah jenayah,” katanya.

Difahamkan, sehingga kini terdapat 1,280 banduan yang menunggu hukuman mati menghuni beberapa penjara di seluruh negara termasuk warga negara asing.

Pada November lalu, jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu untuk kesalahan membunuh.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada 13 November lalu.

Menurut beliau, keputusan yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu itu turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X