Selasa, 15 Januari 2019 | 6:47pm

Rabies: Tiada kes babit manusia di Perak

PUTRAJAYA: Tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Taiping, Perak setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dua mangsa yang digigit anjing positif rabies di Taiping pada 25 Disember tahun lalu tidak menunjukkan gejala penyakit itu.

“Kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sedang dilakukan untuk pelaksanaan aktiviti kawalan serta pencegahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Perak diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila berikutan empat sampel diambil di kawasan itu mendapati ianya positif wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, dalam satu kenyataan, berkata ujian dilakukan pihak JPV selepas menerima maklumat pengadu dari Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping, 31 Disember tahun lalu.

Pengadu berkenaan melaporkan bahawa dua ahli keluarganya digigit oleh seekor anjing miliknya pada 25 Disember dan anjing itu sudah dilupuskan oleh pengadu pada 3 Januari lalu.

Pada 4 Januari lalu, sampel otak daripada anjing itu diuji dan disahkan positif terhadap penyakit rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh.

Dalam pada itu, berhubung wabak Chikungunya, Dr Dzulkefly berkata, pemantauan di pintu masuk antarabangsa antara Malaysia Thailand, Singapura dan Indonesia diperkukuhkan dengan kaedah saringan suhu badan untuk mengesan kes disyaki Chikungunya daripada pelawat yang memasuki Malaysia.

Berhubung cadangan memperluaskan larangan merokok di pejabat atau tempat kerja, beliau berkata, kementerian terbuka untuk menimbang pelbagai cadangan ke arah itu.

“Kita sedia mempertimbangkannya (sama ada di tempat kerja atau lain-lain tempat) kerana kita tahu kepentingan udara yang sihat untuk semua,” katanya.

DR Dzulkefly Ahmad ketika sidang media di Kementerian Kesihatan. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
DR Dzulkefly Ahmad ketika sidang media di Kementerian Kesihatan. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X