Rabu, 16 Januari 2019 | 12:22pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tiada jangkitan rabies terhadap manusia setakat ini

IPOH: Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada jangkitan anjing gila atau rabies dikesan dalam kalangan manusia di Taiping dan Bukit Gantang setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya bagaimanapun masih terus memantau dua mangsa yang digigit anjing peliharaan mereka yang dikesan dijangkiti rabies.

“Mangsa gigitan telah diberikan vaksin dan rabies immunoglobulin. Status kesihatan kedua-dua mangsa gigitan ini terus dipantau dan buat masa ini tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan rabies,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua mangsa itu iaitu wanita berusia 50 tahun dan lelaki berusia 25 tahun digigit anjing peliharaan keluarga mereka pada 28 Disember lalu.

Katanya, kedua-dua mangsa telah dimasukkan ke wad Hospital Taiping pada 25 Disember lalu dan discaj keesokannya selepas menerima rawatan bagi kecederaan yang dialami.

Beliau berkata, anjing yang menggigit mangsa telah dilupuskan oleh pemiliknya pada 3 Januari lalu dan sampel daripada anjing berkenaan disahkan positif rabies keesokannya oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

Katanya, KKM mengambil maklum siaran media Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang telah mengumumkan bahawa mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies berkuatkuasa pada 14 Januari lalu.

Dr Noor Hisham berkata, pewartaan itu adalah susulan daripada empat ekor anjing daripada kawasan itu disahkan positif rabies oleh VRI.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai terutama di daerah LMS agar mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada penyakit rabies.

Katanya, ia termasuk mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

“Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar dan pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

“Elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan lain dan jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada JPV berhampiran.

“Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal dan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan,’ katanya.

Berita Harian X