Rabu, 16 Januari 2019 | 1:17pm
Dr A Xavier Jayakumar (tengah) hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Khairul Azhar

Syor naik tarif air: Kementerian bincang dengan negeri tak bersetuju

KUALA LUMPUR: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan berbincang dengan beberapa kerajaan negeri yang belum bersetuju dengan cadangan menaikkan kadar tarif air di negeri masing-masing.

Menterinya, Dr A Xavier Jayakumar, berkata kerajaan tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan air di negara ini tanpa kenaikan tarif kerana kadar bayaran ketika ini ditetapkan kira-kira 25 tahun lalu.

Katanya, kos penyelenggaraan air ketika ini jauh lebih tinggi berbanding 25 tahun lalu dan kenaikan tarif perlu bagi memastikan rakyat kekal mendapat air bersih berkualiti pada masa depan.

“Untuk 20 tahun sebelum ini, tiada perbelanjaan yang dilakukan kerana ada percanggahan mengenai sistem air di antara kerajaan negeri dengan Persekutuan serta SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) dan sebagainya.

“Saya nampak banyak kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan (menaikkan) tarif air ini. Ada satu dua negeri yang belum bersetuju lagi, tapi kita akan bincang dengan mereka isu kenaikan tarif air ini.

“Kita bukan nak bebankan mana-mana pihak, tetapi kita kena faham bahawa jika kita nak air bersih, kita perlu keluarkan perbelanjaan untuk mendapatkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman.

Beliau mengulas perkembangan cadangan menaikkan tarif air di seluruh negara selepas ada kerajaan negeri enggan berbuat demikian, selain ada yang belum membuat keputusan.

Setakat ini, Johor dan Sabah mengumumkan tidak akan menaikkan tarif air, manakala Pulau Pinang mengesahkan kadar itu akan naik sehingga 20 peratus.

Negeri Sembilan, Perak serta Selangor pula masih mengkaji kesan kenaikan kepada pengguna.

Pada 9 Januari lalu, Xavier dilaporkan berkata, tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan menetapkan kadar kenaikan tarif air sebanyak 20 peratus yang mahu dilaksanakan Pulau Pinang sebagai had kenaikan bagi negeri lain, Xavier berkata, ia bergantung pada perbincangan kerajaan negeri dan SPAN.

Mengenai jangkaan purata kenaikan tarif air, beliau mengulangi jaminan ia tidak akan membebankan rakyat.

“Kita nak beri air bersih untuk semua kawasan dan penduduk di Malaysia, jadi mesti ada perbelanjaan. Ini satu-satunya industri yang rakyat perlu main peranan juga untuk memastikan ia maju dan boleh menyediakan air bersih diminta pengguna,” katanya.

Berita Harian X