Jumaat, 18 Januari 2019 | 1:08pm
Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Inc, David Solomon. - Foto NSTP

'Maaf tidak mencukupi'

PUTRAJAYA: Permohonan maaf Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Inc, David Solomon kepada rakyat Malaysia berikutan peranan bekas pegawai bank itu Tim Leissner, dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah tidak mencukupi, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, permohonan maaf itu penting tetapi tidak mencukupi membabitkan jumlah besar bernilai AS$7.5 bilion.

Tegasnya, ia hanya mencukupi jika dibayar ganti rugi dan pampasan.

"Goldman Sachs harus memahami penderitaan dan trauma yang dialami rakyat Malaysia akibat skandal 1MDB.

"Permintaan maaf tidak mencukupi...tidak cukup. Harus ada pampasan yang diperlukan," katanya bagi mengulas mohon maaf Goldman Sachs itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan surat perlantikan rasmi pengatur utama untuk menerbitkan bon Samurai di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan membatalkan dakwaan terhadap Goldman Sachs sekiranya mereka bersedia membayar ganti rugi dan pampasan, Guan Eng berkata: "AS$7.5 bilion...Jadi, kita boleh bincanglah."

Berita Harian X