Ahad, 20 Januari 2019 | 11:58am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Masyarakat Orang Asli ada hak sama rata - Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, menegaskan masyarakat Orang Asli mempunyai hak sama rata di sisi undang-undang kerana nenek moyang mereka adalah penduduk asal pertama di negara ini.

Katanya, kedudukan istimewa masyarakat Orang Asli diiktiraf Mahkamah Tinggi, malah termaktub di bawah Perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab melindungi masyarakat pribumi ini manakala kebajikan Orang Asli terletak di bawah tanggungjawab dan kuasa Kerajaan Persekutuan, berbeza daripada kerajaan negeri (Jadual Kesembilan, Senarai Persekutuan No 16 Perlembagaan Persekutuan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, hak adat yang dinikmati Orang Asli sebagai penduduk pertama di Semenanjung terus wujud dan tidak boleh dipadamkan dengan mendakwa ia menjadi tanah negeri, penciptaan tanah rizab atau dalam hal ini, pemberian pajakan atau lesen kepada pihak ketiga atas alasan tanah berkenaan dimiliki kerajaan negeri.

Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyentuh mengenai kesamarataan dan sub (5) (c) menyatakan perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau kemajuan Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi Orang Asli perkadaran yang munasabah daripada jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam.

Waytha Moorthy berkata, hak adat itu sendiri adalah satu bentuk undang-undang tidak bertulis dan adalah tidak munasabah untuk menganggap adat tidak mempunyai kuasa undang-undang semata-mata kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang kerajaan negeri.

“Walaupun tidak termaktub, ia tidak bermakna hak-hak adat Orang Asli tidak wujud sama sekali,” katanya.

Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari sama, Peguam Negara Tommy Thomas berkata, Jabatan Peguam Negara turut memfailkan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Waytha Moorthy menegaskan, Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan bertanggungjawab melindungi masyarakat pribumi dan pembaharuan yang dilakukan untuk menguatkuasakan hak adat Orang Asli wujud bersama undang-undang dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menggesa kerajaan Kelantan menimbang semula sebarang perancangan tanpa mengabaikan hak orang Asli. – BERNAMA

Berita Harian X