Ahad, 20 Januari 2019 | 12:00pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pelabur projek kereta nasional ketiga dipilih 28 Januari

KUALA LUMPUR: Syarikat yang bakal menerajui projek pengeluaran kereta nasional ketiga dijangka dipilih, pada mesyuarat Majlis Pembangunan Negara (MPM) 28 Januari ini.

Pada mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, MPM juga dijangka memuktamadkan pemilihan senarai rangkaian vendor tempatan, yang akan menyokong operasi pengeluaran projek.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, berkata ada lebih 10 pelabur swasta yang mengemukakan cadangan terbabit dalam pengeluaran model sulung kereta hibrid di bawah projek kereta nasional ketiga itu.

Menurut beliau, tanpa menggunakan dana kerajaan, konsep pengeluaran dengan menggembleng tenaga dan kepakaran tempatan itu berupaya memberi ‘nafas’ baharu kepada rantaian syarikat vendor, yang sebelum ini menghasilkan pelbagai komponen kereta berteraskan konsep futuristik.

“Sejak Disember lalu, apa yang diperkatakan (menerusi penerbitan eksklusif BH mengenai model pertama kereta nasional ketiga) itu, selari matlamat MPM kerana kita ingin memperkasa keseluruhan ekosistem, termasuk syarikat vendor dan pembangunan sumber manusia.

“Oleh itu, tunggu sedikit masa lagi kerana selepas 28 Januari, iaitu ketika majlis mengadakan mesyuarat, keputusan untuk memuktamadkan syarikat swasta bagi menerajui pengeluaran kereta nasional ketiga dijangka diumumkan pengerusi (Dr Mahathir),” katanya kepada BH, semalam.

Mohd Yusoff berkata, pengeluaran model pertama kereta nasional ketiga itu tidak semestinya membabitkan pembinaan kilang baharu, sebaliknya bakal memaksimumkan kemudahan, kepakaran dan teknologi sedia ada, menerusi pembabitan syarikat yang dipilih.

SDAE, SilTerra berminat

Justeru, katanya, projek kereta nasional ketiga boleh ‘hidup’ tanpa dana daripada kerajaan kerana syarikat peneraju bakal mewujudkan konsortium dengan pelabur swasta lain dan berupaya mengurangkan risiko perniagaan.

“Antara pelabur yang menyatakan minat dalam pengeluaran projek kereta nasional ketiga ini ialah Sime Darby Auto Engineering (SDAE), kerana mereka mempunyai kemampuan dalam pemasangan enjin kenderaan Jerman, BMW.

“Yang turut menyatakan minat ialah SilTerra Malaysia Sdn Bhd yang berpangkalan di Kulim. Syarikat ini mempunyai kepakaran dalam pengeluaran mikrocip, justeru kita cuba untuk memaksimumkan kapasiti sedia ada.

“Projek kereta nasional ketiga akan melebarkan jaringan sistem automotif, menerusi kesalinghubungan dengan maklumat pembangunan, supaya teknologi dan reka bentuk futuristik kenderaan ini menyuntik kelainan yang ketara berbanding model sedia ada,” katanya.

Mengulas kewajaran pengeluaran kereta hibrid, Mohd Yusoff berkata, ia selari unjuran perkiraan kos penyelenggaraan dan bahan api menjelang 2025, yang menyaksikan tiada perbezaan antara kereta dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid.

Kereta hibrid adalah kenderaan yang menggunakan lebih daripada satu sumber tenaga, sama ada petrol ataupun diesel, bersama-sama dengan sebuah motor elektrik yang dijana bateri.

Mohd Yusoff berkata, dengan jangkaan penurunan harga bateri dan komponen hibrid dalam tempoh enam tahun akan datang, syarikat automotif tempatan perlu turut proaktif bergerak ke arah itu.

“Ini projek besar dalam industri automotif kerana kita mahu jadikan Cyberjaya sebagai lokasi perintis, yang berupaya menampung kapasiti penggunaan kenderaan autonomi dan menyokong keperluan komunikasi V-2-I (kereta kepada infrastruktur).

“Sehubungan itu, ia bukan sekadar mengenai pengeluaran kereta, sebaliknya pembangunan ekosistem menyeluruh, sekali gus memberi kesan limpahan ekonomi kepada sektor berkaitan,” katanya.

Idea berhubung projek kereta nasional ketiga dicetuskan Dr Mahathir pada Jun tahun lalu, sebulan selepas menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Beliau mahu projek kereta nasional ketiga menjadi pemangkin yang menyemarakkan keupayaan teknologi, kejuruteraan dan perindustrian Malaysia.

Sasar tembus pasaran ASEAN

Projek kereta nasional ketiga juga disasarkan dapat menembusi pasaran ASEAN dan menempatkan sebuah syarikat automotif Malaysia di persada dunia.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof, sebelum ini dilaporkan berkata, kereta nasional ketiga dijangka dilancarkan pada 2020.

Pakar industri berpendapat, tarikh itu sukar dipenuhi kerana Perdana Menteri mahukan kereta baharu, bukan penjenamaan semula model sedia ada. Bagaimanapun, mereka melihat kemungkinan prototaip dapat disiapkan menjelang tempoh itu.

Jualan kenderaan di ASEAN dijangka mencecah 3.1 juta unit tahun ini, termasuk kira-kira 560,000 unit di Malaysia; Indonesia (1.1 juta), Thailand (850,000) dan Vietnam (460,000).

Berita Harian X