Isnin, 21 Januari 2019 | 11:31pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng - Foto Aizuddin Saad

Tiga tahun untuk ekonomi pulih

GEORGETOWN: Rakyat perlu bersabar sementara kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) berusaha memulihkan kembali kedudukan fiskal negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ia akan mengambil masa tiga tahun untuk memulihkan kedudukan fiskal berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan kembali ke landasan untuk bangkit dalam ekonomi sebagai ‘Harimau Asia’.

“Apabila kedudukan fiskal negara telah dipulihkan, kita akan perlahan-lahan maju sedikit demi sedikit, dan kita berharap rakyat dapat bersabar,” katanya ketika berucap di depan penganut Hindu sempena perayaan Thaipusam di Kuil Penang Waterfall Hilltop, di sini, malam ini.

Beliau berkata, bukan mudah untuk kembali bangkit selepas negara kehilangan berbilion ringgit, namun kerajaan PH akan berusaha untuk menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat.

Terdahulu, Lim menghadiri upacara keagamaan khas di Kuil Sri Meenakshi dan Kuil Nattukotai Chettiar di Pulau Pinang, bersempena perayaan Thaipusam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P Ramasamy, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kerangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri, Chong Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai. - BERNAMA

Berita Harian X