Selasa, 22 Januari 2019 | 2:30pm
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin menyampaikan ucapan pada Dailog Perwira Navigating the Risk of Thucydides Trap di Wisma Perwira ATM. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Malaysia ada alasan takutkan teknologi 5G China

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai alasan untuk takut terhadap perkembangan teknologi 5G dibangunkan oleh China berikutan ia mampu memberi ancaman kepada kedaulatan negara.

Ia kerana teknologi itu dikhuatiri digunakan pihak tertentu bagi mencuri data penting mengenai keselamatan dan pertahanan negara.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, berkata biarpun penggunaan teknologi pada masa kini mampu meningkatkan produktiviti kehidupan seharian, ia juga boleh digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi mencuri maklumat individu serta sesebuah negara.

“Kita mempunyai alasan yang baik untuk takut terhadap pembangunan teknologi 5G oleh China kerana dalam perkembangan dunia hari ini, negara bukan saja menghadapi isu pencerobohan kedaulatan wilayah, sebaliknya turut membabitkan isu pencerobohan maklumat digital.

“Ia kerana pada masa kini, maklumat mengenai apa yang kita lakukan, ke mana kita pergi, apa yang dibeli termasuk apa yang diperkatakan boleh diekstrak menerusi peranti digunakan setiap hari,” katanya ketika berucap dalam majlis Dialog Perwira ‘Navigating the Risk of Thucydides Trap’ di Wisma Perwira hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta Timbalannya, Senator Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Daim berkata, kepakaran China dalam mengekstrak data digital memang tidak boleh diragui dan Malaysia perlu memikirkan aspek keselamatan, pertahanan, privasi serta impilkasi strategik kesan perkembangan teknologi 5G.

Sementara itu, Daim berkata tindakan kerajaan membatalkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) termasuk kontrak diberikan kepada syarikat China adalah tindakan persendirian serta tidak ada kena-mengena dengan hubungan dengan China atau Amerika Syarikat (AS).

“Keputusan pembatalan projek yang dilihat sebagai tindakan anti-China serta mengenepikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) itu adalah keputusan Malaysia sendiri.

“Malaysia tidak mencampuri sebarang konflik negara luar dan keputusan pembatalan projek ECRL itu juga tidak ada kena-mengena dengan konflik antara China dan AS.

“Sebaliknya, Malaysia mengambil pendirian bersahabat dengan mana-mana negara yang mampu memberi kebaikan dan keuntungan kepada ekonomi negara.

“Sebagai contoh, sebelum ini Malaysia memperoleh kira-kira RM100 bilion menerusi hasil perang perdagangan antara China dan AS,” katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut bagaimana hasil itu diperoleh.

Sementara itu, Mohamad berkata, dialog Dialog Perwira ‘Navigating the Risk of Thucydides Trap’ itu diadakan bagi berbincang mengenai kemunculan China sebagai kuasa besar dunia yang baru serta dilihat mengancam kuasa besar sedia ada iaitu AS.

Katanya, kemunculan China sebagai satu kuasa besar dunia itu turut memberi kesan kepada Asia Tenggara dan Malaysia sebagaimana negara Asia Tenggara lain berada di tengah-tengah termasuk dalam perang perdagangan antara dua kuasa besar itu.

“Jadi, Malaysia perlu berhati-hati dalam setiap tindak balas kepada keputusan dibuat dua negara itu dan atas faktor itu juga, setiap pelan dasar dibuat negara ASEAN adalah sukar,” katanya.

Berita Harian X