Khamis, 24 Januari 2019 | 5:22pm
Gambar fail, Peguam Negara, Tommy Thomas. - Foto SAIRIEN NAFIS
Gambar fail, Peguam Negara, Tommy Thomas. - Foto SAIRIEN NAFIS

Tribunal siasat tuduhan terhadap 6 bekas anggota SPR

PUTRAJAYA: Satu tribunal ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan serius membabitkan enam Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peranan mereka dalam persiapan dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ketika sebelum serta pada hari pengundian 9 Mei 2018.

Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata tribunal dianggotai lima hakim bersara yang pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 114(3), 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mereka adalah Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong selaku Pengerusi dan dianggotai oleh Tan Sri Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

“Tribunal akan bersidang di Mahkamah Klang pada jam 10 pagi 28 Januari ini untuk menimbang teliti hal perkara berhubung mandat daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Ia berkenaan dengan enam anggota SPR iaitu Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

“Peguam yang membantu tribunal berhubung perkara ini ialah M Puravalen daripada Majlis Peguam Malaysia, Kogilambigai Muthusamy dan Ann Khong Hui Li daripada Jabatan Peguam Negara.

“Hui Li akan turut bertindak sebagai setiausaha kepada tribunal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tommy berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa enam Ahli SPR itu harus disiasat dan jika didapati bersalah, mereka boleh dipecat menurut Perkara 114(3) dan 125(3) Perlembagaan Persekutuan atas syor tribunal itu.

“Pada 17 Oktober 2018, ada laporan kerajaan sudah memulakan proses untuk menubuhkan tribunal berkenaan, namun pada hari berikutnya, lima Ahli SPR mengumumkan peletakan jawatan mereka manakala seorang ahli yang kekal turut meletak jawatan pada 27 November 2018.

“Semua peletakan jawatan ini berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

“Walaupun enam anggota ini telah meletak jawatan, tribunal mempunyai segala budi bicara berhubung semua perkara yang berkaitan dalam membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Berita Harian X