Khamis, 24 Januari 2019 | 6:18pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama timbalannya Chong Chieng Jen menunjukkan senarai harga kawalan pada majlis Pengumuman Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun baru Cina 2019 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama timbalannya Chong Chieng Jen menunjukkan senarai harga kawalan pada majlis Pengumuman Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun baru Cina 2019 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

13 barangan kawalan sempena Tahun Baharu Cina

PUTRAJAYA: Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina akan berkuat kuasa 30 Januari hingga 8 Februari ini membabitkan 13 jenis barang sebagai langkah menyekat kenaikan harga sempena perayaan itu yang akan disambut pada 5 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tempoh kuat kuasa SKHMP selama 10 hari iaitu enam hari sebelum perayaan, pada hari perayaan serta tiga hari selepas perayaan.

Beliau berkata, skim kawalan berkenaan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta merangkumi kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, barang kering, hasil laut dan daging babi.

“Senarai harga barangan terkawal seperti ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), telur ayam gred A, gred B dan gred C.

“Seterusnya, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram), udang putih besar (berat 41 hingga 60 ekor sekilogram), babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, penentuan harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Katanya, bagi membendung kenaikan harga secara tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

Katanya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh didenda maksimum RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu, beliau berkata, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan mencukupi dan harga di pasaran berpatutan.

“Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Peniaga juga hendaklah mematuhi arahan dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka,” katanya.

Berita Harian X