Isnin, 28 Januari 2019 | 8:23pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

SPR pamer rang daftar pemilih tambahan suku keempat 2018 mulai esok

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 12,914 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Keempat Tahun 2018 (ST4/2018).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata bagi tempoh itu juga SPR menerima sebanyak 6,791 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

“Selaras dengan peruntukan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST4/2018 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 29 Januari hingga 11 Februari ini di 958 tempat pameran di seluruh negara.

“Pemohon yang sudah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Oktober 2018 hingga 31 Disember 2018 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT ST4/2018.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam Rang DPT ST4/2018, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT ST2/2018 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian, dengan mengisi Borang C.

“Tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran Rang DPT itu diadakan,” katanya.

Beliau berkata semasa tempoh Pameran Rang DPT ST4/2018, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

Antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih daripada daftar pemilih adalah kerana mereka meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan berdasarkan peruntukan Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“SPR juga melalui kerjasama dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan maklumat pegawai dan anggota polis dan tentera yang menamatkan perkhidmatan.

“Berdasarkan maklumat itu SPR akan mengemas kini maklumat lokaliti mereka daripada lokaliti polis dan tentera kepada lokaliti awam tetapi kekal dalam kawasan pendaftaran (Parlimen dan DUN) masing-masing.

“Tindakan pengemaskinian ini adalah bagi memastikan mereka akan mengundi sebagai pengundi biasa dan bukan lagi sebagai pengundi awal kerana mereka telah tamat perkhidmatan polis atau tentera.

“Jumlah yang terbabit adalah seramai 49,850 orang yang terdiri daripada 24,215 pesara tentera; 16,162 orang pasangan pesara tentera; 8,988 pesara polis dan 485 orang pasangan pesara polis PGA. Semua nama pesara tentera dan polis serta pasangan ini juga dipamerkan pada Pameran Rang DPT kali ini,” katanya.

Sehubungan itu katanya SPR menyeru kepada semua pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baru dan pemilih berdaftar yang tmemohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Oktober 2018 hingga 31 Disember 2018 supaya membuat semakan nama mereka di tempat-tempat yang diwartakan.

“Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT ST4/2018 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-8892 7018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Pemohon juga boleh melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT ST4/2018,” katanya.

Berita Harian X