Selasa, 29 Januari 2019 | 2:30pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng melancarkan Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng melancarkan Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion dilancar

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini melancarkan Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM menyediakan dana RM1 bilion untuk membantu golongan berpendapatan RM2,300 ke bawah sebulan memiliki rumah buat kali pertama.

Guan Eng berkata dana itu ditubuhkan BNM bagi membantu golongan terbabit membeli rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000.

"Dana ini disedia di AmBank, CIMB Bank, Maybank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus.

"Ia disediakan untuk dua tahun atau sehingga peruntukan dihabiskan," katanya pada pelancaran dana berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Sementara itu, Guan Eng berkata, BNM dengan kerjasama institusi kewangan turut memperkenalkan pelbagai langkah untuk membantu pembeli rumah dengan pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah untuk membeli rumah pertama berharga sehingga RM300,000.

Beliau berkata,  pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama akan mengurangkan kos yang ditanggung oleh pembeli rumah sekitar dua petarus daripada jumlah keseluruhan kos pembelian rumah sehingga 2020.

Katanya, kerajaan telah memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020.

"Bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah sehingga RM5,000, kerajaan  memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Bhd untuk menyediakan jaminan gadai janji bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan yang lebih tinggi termasuk bayaran deposit melalui Skim Rumah Pertamaku oleh Cagamas.

"Langkah ini dijangka memberi penjimatan kos antara tujuh peratus sehingga 11 peratus kepada pembeli selain apa-apa potongan diskaun yang ditawarkan pemaju," katanya.

Mengenai sambutan terhadap dana berkenaan, Guan Eng berkata, sebanyak 16 permohonan diterima setakat ini, dengan lima permohonan sudah diluluskan.

Beliau berkata, sekiranya dana itu mendapat sambutan, kerajaan akan mempertimbangkan melanjutkan tempoh penawaran dana berkenaan kepada tiga tahun.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, beliau dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini mengenai status kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Saya telah berjumpa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pagi ini dan beliau telah menasihatkan saya untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan buat seketika," katanya.

Berita Harian X