Selasa, 29 Januari 2019 | 3:11pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Ramai B40 hidap NCD dorong kerajaan wujud skim kesihatan khas

PUTRAJAYA: Peratusan tinggi dalam kalangan golongan B40 yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) mendorong kerajaan memperkenalkan skim perkhidmatan kesihatan khusus untuk golongan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan secara umumnya, sebanyak 17.5 peratus rakyat negara ini menghidap penyakit kencing manis dan daripada jumlah itu kalangan B40 mewakili 23.5 peratus.

Bagi penyakit darah tinggi, katanya, sebanyak 30 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit itu dengan 36 peratus daripada pesakit terdiri daripada golongan B40.

“Melalui Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang akan dilaksanakan Mac ini, fokus kita adalah supaya golongan B40 ini tampil ke depan bagi pengesanan awal penyakit, NCD dan kanser.

“Separuh daripada golongan ini belum dikesan lagi (jika ada penyakit). Jika ada kesedaran, mereka boleh tampil dan pergi ke klinik kesihatan atau klinik swasta berdaftar untuk pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Putrajaya di Institut Kanser Negara (IKN) di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyempurnakan prapelancaran PeKa B40 bagi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berusia 50 tahun, yang bakal menikmati empat manfaat perkhidmatan kesihatan.

Skim dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta itu akan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Dr Noor Hisham berkata, kajian kementerian juga mendapati terdapat dalam kalangan pesakit yang tidak menghabiskan rawatan mereka dan antara faktornya adalah disebabkan masalah pengangkutan.

“Justeru, di bawah PeKa B40, kita akan berikan insentif bagi mereka yang menghabiskan rawatan, selain tambang pengangkutan dari rumah ke hospital untuk pesakit mendapatkan rawatan bagi setiap penyakit,” katanya.

Sementara itu, mengenai Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Putrajaya, Dr Noor Hisham berkata, ia adalah satu-satunya inisiatif oleh warga Kementerian Kesihatan bagi memberi pendidikan dan maklumat terkini proses rawatan kepada pesakit.

“Kita ada banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi kumpulan sokongan bagi penyakit ini, namun ini adalah inisiatif oleh warga kementerian sendiri, yang dipimpin oleh pakar bedah.

“Dengan adanya pakar bedah yang memimpin, ia akan memberi harapan dan keyakinan kepada pesakit untuk tampil mendapatkan rawatan,” katanya.

Berita Harian X