Selasa, 29 Januari 2019 | 7:28pm
MENTERI Kerja Raya Baru Bian (tengah) melepaskan kenderaan-kenderaan keselamatan peronda lebuh raya pada pelancaran Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Tahun Baru Cina di Plaza Tol Gombak hari ini. - Foto BERNAMA

25 konsesi lebuh raya tawar diskaun tol

GOMBAK: Sebanyak 25 konsesi lebuh raya menawarkan diskaun tol antara 10 hingga 30 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 5 Februari ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata diskaun tol khusus untuk pengguna bagi kenderaan Kelas 1 yang berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam itu sejajar tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat konsesi terbabit.

"Sebanyak 14 lebuh raya seperti Leburaya Utara-Selatan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan 2, Lebuhraya SMART, KESAS, LATAR dan Jambatan Pulau Pinang akan menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus," katanya.

Diskaun 15 peratus pula ditawarkan kepada pengguna lebuh raya AKLEH, LKSA, SILK, GUTHRIE, Lebuhraya KL - Putrajaya dan Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru.

Diskaun 30 peratus pula ditawarkan oleh tiga lebuh raya iaitu Lebuhraya Grand Saga, Lebuhraya DUKE dan Lebuhraya LDP.

Sementara itu, Lebuhraya Baru Pantai dan Lebuhraya Sungai Besi menawarkan diskaun 20 peratus.

Baru berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya menjelang Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Katanya, pengenalan diskaun tol lebuh raya pada musim perayaan tidak seharusnya dijadikan alasan kepada pertambahan kenderaan secara mendadak di jalan raya.

Sebaliknya, beliau berkata, pengguna perlu bijak merancang perjalanan walaupun pada masa sama konsesi lebuh raya ada menyediakan jadual cadangan waktu perjalanan (TTA).

“Pengguna perlu merancang. Saya lihat pemberian diskaun tol ini sebagai nilai tambah. Kita perlu menghargai usaha korporat mereka,” katanya.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Sazally Saidi.

Kempen berkenaan dianjurkan bersama PSKLM, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Terdahulu Baru dalam ucapannya, berkata kajian MIROS mendapati 85 peratus kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian pemandu.

Katanya, ia turut dibuktikan melalui statistik jumlah saman yang dikeluarkan JPJ, apabila sebanyak 385,547 saman dikeluarkan pada Ops Selamat Tahun Baharu Cina 12, berbanding Ops Selamat Tahun Baharu Cina 10 di mana sebanyak 255,392 saman dikeluarkan.

“Dalam tempoh sama, statistik kemalangan juga mencatatkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus iaitu 21,041 pada 2016, berbanding 20,752 pada 2017,” katanya.

Sementara itu Baru turut melahirkan kebimbangan mengenai statistik kemalangan tinggi membabitkan orang muda dalam lingkungan usia 16 hingga 20 tahun, khususnya yang menggunakan motosikal.

Katanya, beliau menyeru semua pihak yang terbabit memberikan fokus dalam bentuk intervensi khusus kepada golongan muda yang menunggang motosikal.

“Dalam usaha mengekang kemalangan, kementerian menyokong penuh langkah polis untuk mengenakan saman RM300 segera kepada pemandu yang melakukan enam kesalahan utama sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Enam kesalahan utama itu ialah membabitkan memandu di lorong kecemasan, melebihi had laju, memotong garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon sewaktu memandu.

Baru berkata selain diskaun tol, pihaknya turut mengeluarkan perintah henti kerja di lebuh raya kecuali membabitkan kerja kecemasan selama 15 hari iaitu bermula dari 29 Januari hingga 12 Februari.

Pada majlis sama, Baru turut melancarkan video viral berbentuk drama pendek, bertujuan mendidik pengguna memandu berhemah pada musim perayaan.

Berita Harian X