Selasa, 29 Januari 2019 | 7:39pm
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kertas putih aspirasi kukuhkan pertahanan negara

KUALA LUMPUR: Kertas Putih Pertahanan (KPP) adalah lambang aspirasi kerajaan dalam mengukuhkan pertahanan serta mewujudkan hala tuju dan keutamaan strategik bagi keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata KPP akan menjadi satu pelan tindakan bagi merangka dasar berkaitan pertahanan dan keselamatan negara.

“Sebagai satu dokumen awam, KPP akan memberikan pemahaman mengenai peranan Kementerian Pertahanan dalam mempertahankan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membacakan kenyataan bersama selepas mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi KPP di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Antara yang menyertai mesyuarat itu ialah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamad berkata pelaksanaan KPP akan dikaitkan bersama dengan dasar luar negara dan dasar keselamatan dalam negara.

“Ini bagi memastikan semua perjanjian antarabangsa dan undang-undang domestik dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara kementerian dan agensi juga penting dalam melaksanakan pelan kerja yang efektif terhadap pertahanan dan keselamatan negara.

“Oleh itu, adalah penting bagi semua pemegang taruh bekerjasama ke arah mewujudkan pelan strategik yang komprehensif berkaitan perkara yang merentasi isu,” katanya.

Berita Harian X