Selasa, 29 Januari 2019 | 9:10pm
PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Menara Yayasan Selangor. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Menara Yayasan Selangor. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PRK Semenyih: Calon PH mesti bijak, cergas - Tun M

PETALING JAYA: Calon mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih mesti sangat bijak dan cergas, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan calon bagi mengharungi ‘pertempuran’ di DUN Selangor itu juga harus mempunyai beberapa kriteria lain.

“Dia kena ada sifat simpati kepada orang, pemberita dan lain-lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang berlangsung hampir tiga jam di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkeyakinan BERSATU mempunyai sokongan kuat dalam kalangan pengundi Melayu di Semenyih, meskipun analisis awal mendapati kerusi DUN berkenaan bakal menyaksikan pertandingan membabitkan lebih dua penjuru.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujud perpecahan undi sehingga mengundang kesan negatif terhadap sesetengah parti yang memasuki ‘gelanggang’ persaingan.

“Tetapi kita yakin, bersandarkan penilaian, kita mempunyai harapan untuk menang,” katanya.

Mengulas perkembangan mesyuarat MPT, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata beberapa laporan, merangkumi penilaian keadaan politik semasa negara dibentangkan untuk penelitian lanjut.

Katanya, persepsi rakyat terhadap pemerintah dan keperluan untuk merangka beberapa tindakan bagi memperbetulkan tanggapan salah dalam kalangan masyarakat turut dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.

“Saya tak perlu jelaskan apa dibincangkan. Kita dapati bahawa keadaan memang mempunyai masalah, tapi bukan yang tidak dapat diatasi kerana pemerintahan negara berjalan dengan baik walaupun wujud perselisihan pandangan dan tafsiran salah oleh media.

“Selain itu, kita sedang berusaha untuk buat persediaan PRK DUN Semenyih,” katanya.

Berita Harian X