Rabu, 30 Januari 2019 | 5:50pm
ISTANA Negara. - Foto BERNAMA

Istiadat keberangkatan Agong bermula jam 6.30 pagi

KUANTAN: Istiadat memuliakan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Abdulaziz, di sini, akan bermula jam 6.30 pagi esok.

Istiadat berkenaan dimulakan dengan ketibaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Baginda kemudiannya berangkat ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 7 pagi dan baginda akan disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku.

Tembakan Meriam Kehormatan sebanyak 21 das akan dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ketua Pasukan Kawalan Kehormatan tampil memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memeriksa kawalan kehormatan.

Kawalan Kehormatan Utama akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku buat kali kedua dan selepas itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, akan membacakan doa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian akan menaiki pesawat khas untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 pagi.

Setibanya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.30 pagi, baginda akan disambut oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datin Seri Norizam Che Mohd Nor dan barisan pegawai kanan kerajaan sebelum menaiki kenderaan menuju ke Dataran Parlimen kira-kira jam 8.50 pagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyambut ketibaan baginda yang dijangka tiba di Dataran Parlimen kira-kira jam 9.30 pagi.

Tiupan nafiri akan mengiringi baginda menuju ke pentas diraja sambil diiringi Pasukan Pengawal Tombak, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri pengiring.

Kawalan Kehormatan Utama akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ (lagu Negaraku dimainkan) oleh Pancaragam ATM, serentak itu bendera peribadi Yang Dipertuan Agong ‘dipecahkan’ (dari kedudukan berlipat di tiang kepada berkibar) di sebelah kanan pentas diraja dan tembakan meriam 21 das dimulakan.

Ketua Kawalan Kehormatan kemudian akan tampil menghadap memohon perkenan baginda memeriksa kawalan kehormatan utama, diikuti memberi perintah ‘kalih senjata’ untuk menukarkan senjata ke tangan kiri dan bersedia bagi bacaan doa yang akan disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selepas itu, baginda akan berangkat ke Istana Negara dengan menaiki kereta diraja pada jam 10 pagi.

Jika hujan, upacara kawalan kehormatan dibatalkan dan istiadat ketibaan akan diadakan di ruang legar Pintu 1, Blok Utama, Bangunan Parlimen.

Berita Harian X