Jumaat, 1 Februari 2019 | 6:35pm
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow pada sidang media di Georgetown, hari ini. - Foto Mikail Ong

Kontraktor kendali Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus disenarai hitam

GEORGETOWN: Kontraktor yang dilantik membina Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, disenaraihitamkan bagi semua projek baharu di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), berkuat kuasa serta merta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata keputusan itu susulan kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek yang mengorbankan sembilan pekerja binaannya, pada Oktober 2018.

Katanya, arahan itu disampaikan kepada MBPP pemilik jalan pintas bernilai RM530 juta di Air Itam yang jadual asal sepatutnya disiapkan pada tahun 2020, namun kerjanya dihentikan sementara akibat kejadian tanah runtuh itu.

“Kerajaan negeri sudah mengarahkan MBPP untuk tidak menawarkan dan mempertimbangkan kontraktor terbabit bagi apa-apa kerja atau projek baharu kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Bagaimanapun, kontraktor terbabit dibenarkan untuk menyiapkan sebarang kerja atau projek sedia ada di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sembilan pekerja binaan terbunuh dan empat cedera dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Bukit Kukus.

Mangsa terbunuh adalah warga Indonesia, Attrul, 35; Samsul, 19; Bahtiar, 36 dan Subaeri, 34, serta empat rakyat Bangladesh, Mithu Hossain, 30; Mostak Hossain, 25; Md Abdul Jalil, 34 dan Mohamad Uzzal, 33.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah wanita warga Myanmar, Khin Aye Khaing, 33, manakala empat cedera, iaitu seorang warga Bangladesh, Shamin, 24 dan tiga warga Indonesia, Wakrini, 36; Norazizah, 24 dan Laduma, 46.

Kon Yeow berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) turut memaklumkan arahan pemberhentian kerja di tapak terbabit sudah ditarik semula, sekali gus membolehkan kerja pembinaan dan mitigasi projek berkenaan diteruskan semula.

“Justeru, MBPP akan mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan projek pembinaan lebuh raya berkembar ini disiapkan sepenuhnya.

“Kerajaan negeri juga akan mendedahkan laporan kajian kejadian itu selepas Tahun Baharu Cina. Bagaimanapun, kita tidak akan mengemukakan sebarang tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak kerana kerajaan negeri bukannya pihak berkaitan dalam perjanjian projek ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga menunggu perkembangan hasil kajian sama dilakukan DOSH yang akan diumumkan pada suatu tarikh ditetapkan kemudian.

“Dalam tempoh ini, kita akan tunggu tindakan lanjut akan diambil DOSH, selain tidak maklum sama ada terdapat tindakan perundangan yang akan diambil ke atas mana-mana pihak,” katanya.

Berita Harian X