Sabtu, 2 Februari 2019 | 6:38pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Penyaluran peruntukan kepada JPN Sarawak sedang dilaksanakan

PUTRAJAYA: Penyaluran peruntukan bagi tahun ini kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPN) untuk tujuan pembangunan dan penyelenggaraan sekolah daif sedang dilaksanakan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, bagi tujuan pembangunan semula sekolah daif di Sarawak untuk tahun ini, kementerian sudah diperuntukkan sebanyak RM100 juta membabitkan pembangunan semula 32 sekolah.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan juga memperuntukkan sebanyak RM25.7 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf 135 buah sekolah (termasuk sekolah daif) yang membabitkan kerosakan struktur dan pembaikan kecil di Sarawak mengikut tahap kerosakan sekolah terbabit,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, untuk pembangunan dan menaik taraf sekolah daif, pelaksanaan projek akan dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pemilihan serta pelantikan kontraktor adalah mengikut kaedah tender terbuka. Pihak Kementerian Pendidikan juga tidak akan berkompromi, sebaliknya akan mengambil tindakan tegas, termasuk menamatkan kontrak terhadap mana-mana kontraktor dilantik yang gagal melaksanakan projek mengikut tempoh ditetapkan.

“Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan sentiasa mengamalkan prinsip kerjasama membina dengan kerajaan negeri Sarawak dalam memastikan kemudahan pendidikan yang kondusif disediakan.

“Malah, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sendiri menyatakan komitmen untuk menangani sekolah daif di Sarawak dan juga di semua negeri di Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan sentiasa komited dalam memastikan pembangunan sekolah di semua negeri amnya dan Sarawak khasnya demi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Semalam tular di media sosial mengenai sebuah sekolah rendah di Kapit, Sarawak yang video muridnya menampal pintu kelas dengan kotak.

Maszlee sebelum ini berkata kementerian sudah mengambil maklum dan tindakan sedang diambil selain berkata sekolah daif dan bermasalah di seluruh negara perlu memaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) segera bagi membolehkan Kementerian Pendidikan mencari penyelesaian.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X