Ahad, 3 Februari 2019 | 12:30pm
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
- Gambar hiasan

Eksklusif: Kementerian sedia runding dengan kumpulan sasar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan syor menggubal akta khusus untuk menjaga dan melindungi warga emas secara lebih menyeluruh.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, berkata rundingan dengan kumpulan sasar seperti wakil warga emas, keluarga, komuniti, ahli akademik serta kementerian dan agensi kerajaan berkaitan lain akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, berdasarkan kajian Universiti Malaya (UM) mengenai inisiatif melindungi warga emas daripada penderaan dan pengabaikan atau Prevent Elder Abuse and Neglect Initiative (PEACE), penggubalan akta khusus boleh melindungi hak asasi warga emas dengan lebih menyeluruh.

“Kementerian sedia meneliti cadangan mewujudkan satu akta khusus untuk warga emas bagi melindungi kebajikan dan hak asasi golongan terbabit, termasuk perlindungan daripada pengabaian dan penderaan,” katanya kepada BH.

Beliau mengakui, pada masa ini, tiada sebarang akta untuk melindungi warga emas di Malaysia secara khusus.

Rundingan bersama pihak berkepentingan

“Ketika ini, perundangan sedia ada di negara kita membabitkan warga emas adalah secara umum serta terikat dengan syarat tertentu. Pada masa sama, ia tidak mengambil kira keperluan khas warga emas,” katanya.


Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Sebagai contoh, katanya, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 perlu dibaca dengan Kanun Keseksaan, sekali gus tidak mengambil kira elemen khas dari segi hubungan kekeluargaan di antara pelaku dan mangsa termasuk warga emas dalam kes penganiayaan.

Mengulas lanjut sesi perbincangan dengan pihak berkaitan, beliau berkata, rundingan bersama pihak berkepentingan itu bagi mendapatkan maklum balas mengenai syor berkenaan, termasuk mengenai pendekatan undang-undang yang dicadangkan, sama ada berasaskan menghukum atau punitif.

Dalam perkembangan berkaitan, Yeoh berkata, kementerian dalam proses menyemak semula Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2018-2030 bagi menambah baik perancangan program, aktiviti serta pelaporan dan pemantauan pelan berkenaan.

Mengenai kajian Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), yang menjangkakan warga emas tidak mampu bekerja dan miskin (hidup terbiar, melarat), Yeoh berkata, kerajaan sudah mengambil langkah perlu bagi berdepan isu terbabit.

“Kerajaan sudah menaikkan Bantuan Orang Tua (BOT) RM50, iaitu dari RM300 kepada RM350 sebulan bermula 2018, selain menyediakan institusi penjagaan warga emas secara percuma kepada mereka yang memenuhi syarat seperti tiada waris dan tidak berkemampuan.

“Pusat kebajikan Rumah Seri Kenangan disediakan untuk warga emas yang boleh berdikari, manakala Rumah Ehsan pula bagi mereka yang terlantar,” katanya.

Berita Harian X