Ahad, 3 Februari 2019 | 12:30pm
Pengarah Bahagian Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Azmir Kassim. - Foto NSTP
- Gambar hiasan

Eksklusif: JKM tumpu golongan dipinggir keluarga

KUALA LUMPUR: Ada pelbagai punca termasuk kesan perceraian atau pernah mengabaikan ahli keluarga sendiri, menjadi penyebab warga emas terpaksa mengharungi sisa kehidupan bersendirian akibat dipinggirkan anak atau waris.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (Bahagian Warga Emas), Azmir Kassim, berkata terdapat juga ahli keluarga, sama ada adik-beradik mengelak menjaga warga emas disebabkan pelbagai faktor, termasuk menghadapi masalah kesihatan dan kekangan kewangan.

Punca lain, katanya, hubungan renggang dengan ahli keluarga terdekat terutama anak, cucu dan adik-beradik.

“Sering juga berlaku apabila anak perempuan terpaksa mengikut suami menyebabkan ibu bapa, ibu atau bapa tinggal bersendirian selepas kematian pasangan masing-masing. Ada warga emas memang sebatang kara kerana tidak pernah berkahwin, manakala waris pula tak ambil peduli.

Tiada punca pendapatan

“Begitu juga dengan warga emas yang tiada punca pendapatan dan kediaman tetap, akan terbiar bersendirian. Masalah semakin berat sekiranya mereka menghidap penyakit yang sukar diubati dan pastinya menambah beban kepada ahli keluarga lain untuk menjaga,” katanya.

Ketika ini, katanya, 2,572 warga emas menghuni sembilan pusat jagaan di bawah Rumah Seri Kenangan (RSK), Rumah Ehsan (RE) dan Desa Bina Diri (DBD) seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Daripada jumlah itu, kira-kira 1,447 menginap di RSK, DBD (918) dan RE (207).


Pengarah Bahagian Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Azmir Kassim. - Foto NSTP

Azmir berkata, RSK dihuni warga emas dikategorikan daif, gelandangan dan dihantar waris atau anak, manakala RE pula untuk warga emas yang sakit dan uzur bagi memberi penjagaan, rawatan dan perlindungan dalam suasana selesa serta tenteram.

Selain JKM, katanya, 6,642 warga emas lain didaftarkan di bawah pusat jagaan swasta atau pertubuhan sukarela di seluruh negara.

“Warga emas terpinggir adalah kumpulan sasar JKM bagi memastikan kesejahteraan mereka terjamin terutama dari segi sokongan dan bantuan,” katanya.

Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menawarkan perkhidmatan sokongan, sosial dan kebajikan kepada warga emas di bawah program bantuan kewangan serta penjagaan institusi.

“Bantuan kewangan hanya diberi kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai mata pencarian bagi menyara hidup dan tinggal dalam komuniti,” katanya.

Berita Harian X