Isnin, 4 Februari 2019 | 4:31pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua dari kanan) melawat rumah contoh selepas melancarkan Projek Pembangunan Bersepadu Lestari Iskandar University Square (IUS) di Seri Iskandar, hari ini. - Foto Hidayah Tanzizi

Perak cadang jual semula kuota khas rumah Bumiputra

SERI ISKANDAR: Kerajaan Perak mahu mewujudkan mekanisme baharu dalam menyelesaikan masalah kuota khas rumah untuk Bumiputera di kawasan projek perumahan yang tidak dapat dijual.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata antara kaedah yang dicadangkan, termasuk menjual semula pemilikan kuota Bumiputera itu kepada pemaju bagi menyelesaikan masalah unit rumah tidak terjual itu dengan hasil jualan itu digunakan untuk membina Rumah Perakku.

Beliau berkata, kebanyakan Bumiputera tidak berminat untuk membeli rumah berdasarkan demografi kawasan sehingga menyebabkan kuota yang diberikan golongan itu tidak terjual.

Katanya, keputusan itu disifatkan agak berani, namun kerajaan negeri memikirkan penyelesaian kepada unit rumah tidak terjual dan pada masa sama menyediakan rumah mampu milik seperti Rumah Perakku.

“Kita ambil contoh, harga rumah RM250,000 dan bagi lot Bumiputera mendapat diskaun lima peratus, tetapi tidak terjual, jadi kita benarkan pemaju untuk membeli syarat itu (kuota Bumiputera).

“Hasil daripada duit itu kita masukkan dalam LPHP (Lembaga Perumahan Hartanah Perak) untuk kerajaan sediakan kawasan rumah untuk didirikan Rumah Perakku yang berharga antara RM20,000 hingga RM40,000, dan kita beri kepada rakyat yang memerlukan seperti golongan B40 (isi rumah berpendapatan rendah).

“Pandangan ini adalah satu dasar yang dibuat secara serius,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Projek Pembangunan Bersepadu Lestari Iskandar University Square (IUS) di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kaedah itu dicetuskan berdasarkan perbincangan beliau bersama pemaju dan hasil pemantauannya di kawasan Ipoh yang mendapati golongan Bumiputera masih tidak berminat untuk membeli rumah meskipun sudah diberikan kuota khas kepada golongan itu.

“Saya membuat siasatan serta kajian sendiri dan mendapati, terdapat beberapa kawasan atau lokasi yang mana, meskipun kita letak kuota Bumiputera (pada harga) begitu rendah, sebagai contoh 20 peratus (diskaun untuk Bumiputera), terutama di kawasan bandar seperti Ipoh, namun Bumiputera tidak berminat untuk membeli (rumah) di kawasan berkenaan.

“Sebagai contoh di Bercham, kita beri kuota Bumiputera (diskaun harga) sebanyak lima peratus atau 10 peratus, tetapi golongan itu tidak mahu beli di kawasan berkenaan berdasarkan persekitaran dan kehendak masing-masing,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, bagi pembeli rumah bukan Bumiputera yang mahu membeli kuota berkenaan, mereka perlu melalui beberapa prosedur dan tunggu lebih daripada dua tahun untuk melepasi kuota berkenaan.

Berita Harian X