Khamis, 7 Februari 2019 | 1:49pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan pelajar pada majlis perasmian Pusat Jagaan dan Latihan Pekerjaan Tasputra Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Cadangan e-undi belum ke Kabinet - TPM

KUALA LUMPUR: Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan kaedah pengundian secara elektronik (e-undi) belum dibincang di peringkat Kabinet, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak dibawa atau dibincangkan di Kabinet.

“Kabinet belum bincangkan lagi perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Jagaan dan Latihan Pekerjaan Tasputra Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah diminta mengulas cadangan SPR untuk mempertimbangkan pelaksanaan e-undi, kaedah pemilihan yang lebih selamat dan menjimatkan kos sebagai sebahagian daripada reformasi sistem pilihan raya negara ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, dalam wawancara khas bersama BH dilaporkan berkata, kajian SPR mendapati kaedah itu yang digunakan di Russia, Korea Selatan, India dan Congo, dapat menjimatkan banyak masa serta meminimumkan bilangan kakitangan diperlukan.

Beliau berkata, SPR sudah melakukan pencarian fakta dan berbincang dengan beberapa pihak, termasuk pegawai dari negara yang sudah melaksanakan kaedah e-undi dan pengundian internet.

Berita Harian X