Sabtu, 9 Februari 2019 | 7:29pm
Rina bergambar dengan sebahagian 45 kontinjen dan urus setia pada Majlis Pelancaran Karnival Sukan MRSM ANSARA ke-19 di Serdang. - NSTP/Aizuddin Saad

Rina tak kisah kelayakan akademik dipertikaikan

SERDANG : Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, tidak kisah sekiranya netizen mempertikaikan kelayakan akademik kerana memiliki kelayakan sah.

Katanya, beliau memiliki latar belakang pendidikan, malah gambarnya turut keluar di majalah universiti.

“Saya yakin pada peringkat sekarang integriti dilihat pada hasil kerja, sungguh pun saya bukan menteri yang ‘glamour’ di media,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Karnival Sukan Ahli Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (ANSARA) ke-19 (KSA19) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden ANSARA, Datuk Kamarul Redzuan Muhammed dan Ketua Pegawai Eksekutif KSA19, Kamarul Bahrain Hamzah.

Rina memiliki Diploma dalam Pengajian Perbankan Universiti Teknologi Mara serta Ijazah Perbankan dan Kewangan dari Universiti Northwood, Michigan, Amerika Syarikat.

Beliau memberi penjelasan itu apabila diminta mengulas mengenai isu Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya, yang didakwa membohongi rakyat berhubung latar belakang pendidikan.

Marzuki dikatakan mengikuti program pendidikan jarak jauh (PJJ), bukannya graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan seperti mana di dakwa.

Isu berkenaan dibangkitkan, aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef kelmarin, yang membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan ke atas Marzuki, yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ia susulan pendedahan seorang netizen dikenali Zulfarhan Pargon menerusi akaun Facebook beliau, yang mendakwa program PJJ diikuti Marzuki itu tidak wujud.

Dalam perkembangan lain, mengenai tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang didakwa mempromosi produk minuman tempatan, Rina enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta hal berkenaan di tanya kepada Syed Saddiq sendiri.

“Saya yakin ramai individu ingin menceburi bidang keusahawanan tapi bukan semua orang mampu kerana ia memiliki cabaran tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Kamarul, berkata KSA adalah temasya Sukan anjuran ANSARA Malaysia yang diadakan secara tahunan dan terbuka kepada semua ahli iaitu bekas pelajar (MRSM) seluruh negara.

KSA19, membabitkan 24 jenis acara sukan dan permainan termasuk eSports dan tradisional, dijangka membabitkan 8,000 penyertaan ahli ANSARA dari 56 cawangan seluruh negara.

“Dalam menyemarakkan keahlian, hingga akhir tahun ini kami menyasarkan 20,000 keahlian,” katanya.

Berita Harian X