Selasa, 12 Februari 2019 | 7:48pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegur sikap pemimpin tertentu yang mengaitkan pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai maqasid syariah. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegur sikap pemimpin tertentu yang mengaitkan pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai maqasid syariah. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Jangan kaitkan AES dengan maqasid syariah - Mujahid

SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegur sikap pemimpin tertentu yang mengaitkan pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai maqasid syariah.

Beliau sehubungan itu berkata, adalah tidak wajar jika menggunakan maqasid syariah untuk menerangkan semua yang dilakukan.

“AES bukan hanya satu cara untuk menjaga nyawa di jalan raya. Ia juga melihat kepada pemanduan yang cermat, ia juga melihat kepada pendidikan supaya tidak membahayakan nyawa.

“Jadi pada saya, jangan gunakan isu maqasid untuk menyatakan segala-galanya semua atas maqasid, sebab maqasid itu luas dan memerlukan perbincangan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tamu pada program Bicara Minda di sini, hari ini.

Sebelum ini, seorang lagi Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Yunus, dilaporkan berkata pemasangan AES dengan mengenakan saman menepati maqasid syariah dalam Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, pemasangan AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya menepati maqasid syariah dalam Islam.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil menyangkal kenyataan Hasanuddin yang menjelaskan, pelaksaan AES tidak menepati prinsip maqasid syariah jika ia menekan hidup rakyat dan meningkatkan kadar keperitan hidup rakyat.

Berita Harian X