Khamis, 14 Februari 2019 | 12:16pm
PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Hasnita Hashim. - Foto Rosela Ismail
PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Hasnita Hashim. - Foto Rosela Ismail

EKSKLUSIF: MARA beri jaminan utama pendidikan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mahu kembali kepada matlamat asal penubuhannya dengan memberi keutamaan kepada sektor pendidikan untuk membangunkan Bumiputera, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi baharunya, Dr Hasnita Hashim, berkata ketika ini 80 peratus daripada keseluruhan aktiviti dalam MARA adalah berkaitan dengan bidang pendidikan, selebihnya dalam bidang keusahawanan dan pelaburan.

“Kita mahu kembali kepada objektif asal penubuhan MARA itu sendiri, iaitu membangunkan Bumiputera dan golongan berpendapatan rendah menerusi pendidikan.

“Justeru, MARA akan fokus semula kepada sektor pendidikan untuk meningkatkan pendapatan kumpulan berpendapatan rendah Bumiputera.

“Pada pandangan saya, bagi meningkatkan taraf hidup kumpulan berpendapatan rendah adalah dengan memberi peluang pendidikan berkualiti tinggi,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama BH mengenai hala tuju badan berkanun itu, baru-baru ini.

Sedia pendidikan berkualiti

Mengulas mengenai transformasi MARA yang dirancangnya, Dr Hasnita yang mula menerajui MARA sejak Oktober tahun lalu berkata, tumpuannya adalah menyediakan pendidikan berkualiti selaras objektif penubuhan MARA itu sendiri, iaitu untuk membantu memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Katanya, untuk mencapai itu, MARA kini bukan saja menumpukan kepada pemberian bantuan pendidikan untuk golongan B40 dan M40 di luar bandar, juga golongan miskin bandar.

“Fokus kita sekarang adalah kepada pendidikan untuk masa depan, sepadan dan selari dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0 (IR4).

“Pendidikan yang ditawarkan perlulah melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif, inovatif serta boleh berhadapan dengan keadaan yang kompleks dan mencabar,” katanya.

Beliau berkata, MARA juga sedang dalam memproses mengkaji semula subjek atau kursus yang ditawarkan kepada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi latihan dan pendidikan di bawahnya supaya relevan serta memenuhi keperluan pasaran masa depan.

Kualiti tetap diutama

Ditanya sama ada langkah MARA membuka lebih ruang dan peluang kepada pelajar kumpulan B40 dan M40 akan menjejaskan kualiti pelajar yang dihasilkan MRSM, Dr Hasnita berkata, isu itu tidak timbul kerana kualiti tetap menjadi keutamaan dalam pemilihan kemasukan ke MRSM.

“Untuk kemasukan ke MRSM, seramai 76,000 memohon sedangkan tempat yang disediakan hanyalah 7,700.

“MARA akan memastikan hanya yang terbaik daripada yang terbaik mendapat tempat. Tahun ini, kami membuat pengambilan lebih awal dan memastikan anak-anak daripada kumpulan B40 dan M40 turut mendapat tempat dan mereka yang cemerlang diberikan keutamaan.

“Fokus MARA adalah kualiti, bukan kuantiti, lagipun tempat yang ditawarkan di MRSM adalah terhad,” katanya.

Sementara itu, Dr Hasnita memberi jaminan MARA akan terus menawarkan penajaan pendidikan untuk anak Bumiputera dan tidak berhasrat mengurangkan pembiayaan pelajaran walaupun kerajaan kini berhadapan dengan sumber kewangan yang terhad.

Katanya, peruntukan yang diberikan kerajaan kepada MARA untuk tahun ini masih sama seperti tahun lalu.

Justeru, penajaan untuk pelajar ke MRSM, institusi pendidikan dan latihan di bawah agensi itu, termasuk penuntut universiti masih diteruskan.

“Peruntukan yang diberikan kerajaan tidak lebih dan tidak kurang. Namun, kami mahu memastikan peruntukan yang ada digunakan dengan efektif, jika kami boleh mengurangkan kos yang tidak efisien maka itu akan dilaksanakan,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kebimbangan tajaan untuk pelajar MARA akan dikurangkan berikutan dakwaan peruntukan untuk badan berkanun itu dalam Belanjawan 2019 dikurangkan sehingga 50 peratus berbanding 2018.

Menjawab dakwaan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata, peruntukan yang disalurkan kepada MARA hampir sama dengan apa yang sudah disalurkan pada tahun lalu.

Pada 2018, jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima MARA adalah RM3.79 bilion dengan pecahan RM3.48 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala sebanyak RM307 juta lagi untuk belanja pembangunan.

Bagi Belanjawan 2019, jumlah keseluruhan yang diumumkan kerajaan adalah berjumlah RM3.705 bilion dengan pecahan RM1.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM2.4 bilion lagi untuk belanja pembangunan.

Berita Harian X