Khamis, 14 Februari 2019 | 5:51pm

JPA buka peluang pekerjaan kepada calon OKU

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menetapkan semua sektor perkhidmatan awam dan agensi di bawahnya perlu memastikan sekurang-kurangnya satu peratus daripada pengambilan pegawai di kementerian berkenaan adalah dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

JPA dalam satu kenyataannya hari ini, berkata perkara itu adalah rentetan daripada kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, yang memberi kuota sebanyak satu peratus kepada OKU bagi mengisi sektor awam.

Beliau berkata, dasar pengisian calon OKU itu akan diuruskan oleh Ketua Perkhidmatan masing masing yang meliputi pelantikan secara tetap, sementara, kontrak, atau pelbagai kaedah yang berkuat kuasa.

“Sehingga kini, seramai hampir 4,000 jawatan diisi di pelbagai peringkat sektor awam oleh calon dari golongan OKU.

“Bagaimanapun, pencapaian dasar ini bergantung kepada permohonan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan melalui pengenalpastian oleh kementerian atau agensi di bawah kementerian.

“Pelantikan OKU dibuat berdasarkan kriteria calon bagi memenuhi syarat lantikan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan itu, sama ada dari segi kesesuaian calon dengan bidang tugas jawatan serta kemudahan yang disediakan oleh agensi terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, JPA turut membuat hebahan peluang kerjaya berkenaan kepada individu OKU melalui beberapa pihak berkepentingan seperti persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan kebajikan golongan berkenaan.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan golongan OKU dalam pekerjaan, selaras dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 bagi meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran pekerjaan terbuka dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Namun, kerajaan turut yakin terdapat ruang dan peluang untuk mewujudkan bentuk pekerjaan baharu yang lebih luas dan boleh dicadang secara bersama antara sektor awam serta swasta,” katanya.

Berita Harian X