Jumaat, 15 Februari 2019 | 10:07pm
PENGERUSI MTIB, Wong Tack nafi terbabit projek ladang hutan di Perak. - NSTP/Asyraf Hamzah

MTIB nafi terbabit projek ladang hutan di Perak

KUALA LUMPUR: Lembaga Perindustrian Malaysia (MTIB) menafikan pembabitannya menjalin kerjasama dengan syarikat yang dinyatakan dalam projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta, Perak.

Pengerusi MTIB, Wong Tack, ketika memberi pencerahan berhubung perkara itu berkata, kelulusan permit bagi tujuan pembangunan sedemikian bukan terletak pada pertimbangan pihak lembaga berkenaan atau anak syarikatnya, Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB).

Beliau berkata, kelulusan permit bagi tujuan projek pembangunan ladang hutan membabitkan kedua-dua kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) pada 14 Disember, tahun lalu dengan keluasan 400 hektar kepada sebuah syarikat itu sebaliknya tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Perhutanan Perak.

“Pengurusan syarikat berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan MTIB dan setakat ini tidak pernah menghubungi kami mengenai hasrat bekerjasama dalam projek perladangan hutan menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) kendalian FPDSB.

“Bagi permohonan pinjaman pembiayaan PPLH menerusi MTIB, syarikat atau agensi kerajaan perlu mematuhi syarat ketat, manakala kawasan yang ingin diusahakan ialah tanah milik kerajaan atau milik persendirian dan bukan dalam HSK.

“Kecuali yang diperuntukkan untuk tanaman ladang hutan di Semenanjung, selain diberikan status Penanaman Berlesen (LPF) di Sarawak dan kawasan dizonkan sebagai Penanaman Pokok Bagi Tujuan Industri (ITP) di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dilaporkan berkata, kerajaan negeri memberikan kelulusan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di dua lokasi mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, keputusan dibuat selepas melihat latar belakang dua pengarah syarikat dengan pengalaman luas dalam bidang penanaman semula ladang hutan, selain mempunyai kaitan dengan syarikat lebih besar dan bakal bekerjasama dengan MTIB bagi perusahaan untuk kawasan hutan sekunder.

Wong berkata, syarikat dan agensi kerajaan yang memohon untuk memajukan kawasan menerusi PPLH kendalian MTIB perlu mematuhi syarat keperluan teknikal, kewangan dan undang-undang, iaitu menyediakan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Hutan (FMP), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP).

“Kawasan berkenaan juga mestilah tidak termasuk dalam zon diwartakan sebagai Central Forest Spine (CFS) di Semenanjung dan Heart of Borneo (HoB) di Sabah dan Sarawak bagi menjaga serta menjamin kelestarian ekosistem hutan biodiversiti.

“Oleh itu, MTIB dan FPDSB menafikan wujud perjanjian kerjasama antara pihak lembaga dan syarikat berkenaan, malah kami menjalankan aktiviti selaras objektif, perlembagaan dan melaksanakan setiap urusan mengikut kehendak Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Pemerbadanan) 1973 (Akta 105),” katanya.

Berita Harian X