Sabtu, 16 Februari 2019 | 8:37pm
Kon Yeow (tiga dari kiri) pada majlis pecah tanah perumahan mampu milik kos sederhana rendah di Pintasan Cecil, Georgetown. - NSTP/Ramdzan Masiam
Kon Yeow (tiga dari kiri) pada majlis pecah tanah perumahan mampu milik kos sederhana rendah di Pintasan Cecil, Georgetown. - NSTP/Ramdzan Masiam

Kerajaan negeri tunggu laporan DOSH

BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang masih menunggu laporan siasatan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sebelum mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus yang mengorbankan sembilan pekerja asing, Oktober lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata buat masa ini kerajaan negeri tidak dapat mengambil sebarang tindakan selanjutnya terhadap pihak yang terbabit sementara menunggu laporan penuh insiden itu daripada DOSH.

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ambil maklum mungkin tak ada ‘legal responsibility’ sebab MBPP sebenarnya pun mangsa berikutan ia juga adalah pemilik projek.

“MBPP pun sudah tahu kekurangannya sebagai pihak berkuasa tempatan dari segi geoteknikal itu. MBPP sudah lakukan apa yang sepatutnya dibuat tapi kegagalan berlaku di peringkat itu sama ada kontraktor, sub kontraktor, jurutera perunding dan sebagainya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan watikah Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mahu tindakan tegas diambil terhadap MBPP dan syarikat swasta yang terbabit dalam projek pembinaan lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Bukit Kukus, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dalam sidang media pada Rabu, berkata MBPP, kontraktor projek Yuta Maju Sdn Bhd, perunding Jurutera Perunding GEA (M) Sdn Bhd dan jurutera pemeriksa bebas G&P Professional Sdn Bhd bertanggungjawab terhadap insiden itu.

Tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus kendalian MBPP pada 19 Oktober tahun lalu meragut nyawa sembilan pekerja asing dan mencederakan empat orang lagi, manakala seorang lagi hilang.

Projek jalan berkembar itu bertujuan untuk menjadi jalan penghubung di antara Paya Terubong dan Relau, Georgetown dekat sini dan dijangka dapat disiapkan menjelang Mei 2020.

Terdahulu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata penubuhan JPWK adalah langkah proaktif dan inklusif dalam menghindari segala permasalahan dan isu berbangkit terutama di peringkat akar umbi.

Menurutnya, sebagai inisiatif perintis di Malaysia, usaha itu akan membawa perubahan strategik untuk mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang memberi fokus kepada pembangunan wanita dan keluarga ke arah perkembangan baharu.

“Saya berharap semua yang dilantik dalam JPWK ini dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab agar pelaksanaan inisiatif ini akan membuka mata sekali gus menjadi model ikutan kepada negeri-negeri lain,” katanya.

JPWK dibentuk di kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri di negeri ini, membabitkan lebih kurang 600 pemimpin wanita berkebolehan, yang berperanan untuk menyelaras program di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Pembangunan Wanita dan Keluarga bagi memastikan visi Penang 2030 yang memfokuskan kepada institusi kekeluargaan, negeri pintar dan hijau dapat direalisasikan. - BERNAMA

Berita Harian X