X
Selasa, 19 Februari 2019 | 7:13pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KDN tangguh proses ekstradisi Ng ke AS

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menangguhkan proses ekstradisi Ng Chong Hwa atau Roger Ng ke Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkan bekas eksekutif Goldman Sachs itu menghadapi kesnya di mahkamah negara ini, bulan depan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau dinasihatkan Peguam Negara, Tommy Thomas, supaya Ng dihadapkan ke mahkamah di negara ini terlebih dahulu.

“Saya dinasihatkan Peguam Negara berserta surat rasmi, beberapa hari lalu, yang memaklumkan bahawa Ng perlu hadir ke mahkamah di negara ini dan kesnya akan didengar pada Mac depan.

“Saya tidak pasti kes apa, namun pihak berkuasa sudah mengambil tindakan untuk membawanya ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-47 Peringkat Kebangsaan 2019, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, pihaknya akan tetap melaksanakan proses ekstradisi Ng ke AS tetapi yang paling utama, kes di Malaysia diselesaikan terlebih dahulu.

Ng ditahan polis pada 1 November tahun lalu berdasarkan waran tangkap dimohon Kerajaan AS sebelum lelaki itu dibawa ke mahkamah bagi proses dokumentasi.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 Januari lalu menolak permohonan Ng untuk dibebaskan dengan jaminan sementara permohonan pendakwaan bagi mengekstradisinya ke AS didengar.

Ng dituduh tanpa kehadirannya di mahkamah AS bersama bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner, dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Mengikut pertuduhan itu, Jho Low dan Ng didakwa bersubahat mengubah wang berbilion dolar yang diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta berkonspirasi untuk melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) dengan membayar rasuah kepada pihak berkuasa Malaysia dan Abu Dhabi.

Sementara itu, mengulas isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW didakwa dilakukan pemilik akaun Facebook (FB), Foo Sing Wai, baru-baru ini, Muhyiddin berkata, pihak polis sudah menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

“Saya sedar isu ini bukan perkara kecil. Malah, saya sudah maklumkan dahulu, seelok-eloknya mereka yang ada saluran media sosial mengelak membangkitkan perkara dianggap penghinaan baik dari sudut agama, raja dan sebagainya,” katanya.

Polis hari ini menahan seorang lelaki berusia 68 tahun yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW di sebuah rumah di Mentakab, Temerloh, Pahang, susulan laporan dibuat beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak semalam.

Baru-baru ini, seorang pengguna FB dikatakan memuat naik gambar kartun berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, sebelum ia tular dalam media sosial.

Gambar kartun itu ditulis dengan perkataan Muhammad pada lelaki dewasa, manakala kanak-kanak berusia enam tahun sebagai Aisyah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X