Rabu, 20 Februari 2019 | 9:36pm
ZURAIDA (belakang tengah) dan Pengerusi EdgeProp.my Datuk Tong Kooi Ong (belakang tiga, kiri) bergambar bersama para penerima FundMyHome-Skim Depositku selepas merasmikan dana pemilikan rumah. = Foto Bernama

Suri rumah kecewa 15 kali permohonan pinjaman perumahan ditolak

SEMENYIH: Luahan seorang suri rumah yang menerjah sidang media pelancaran Skim FundMyHome-DepositKu, hari ini, mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Hafiza Abdul Rahman, 34, ketika meluahkan kesedihannya mendakwa sudah 15 kali memohon untuk mendapatkan pinjaman perumahan sejak 10 tahun lalu, namun tidak pernah mendapat kelulusan.

Selepas sidang media, ibu kepada empat anak itu dilihat sekali lagi bertemu dan meluahkan kesedihannya kepada Zuraida serta beberapa kali memeluk menteri itu sambil mengalirkan air mata.

“Antara alasan diberikan oleh pihak bank ialah kami tidak pernah membuat sebarang pinjaman. Rumah yang kami hendak beli bawah harga RM100,000 dan kami boleh membayar deposit hingga RM20,000.

“Apa salah saya dan suami? Kami hanyalah rakyat biasa yang ingin memiliki rumah sendiri. Namun selama ini, kami hanya mampu menyewa,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sehubungan itu, Hafiza merasakan hak mereka sekeluarga yang merupakan golongan B40 dengan pendapatan suaminya hanya RM3,000 sebulan, dinafikan.

Beliau juga menyatakan penghargaannya kepada kerajaan kerana memperkenalkan FundMyHome dan skim FundMyHome-DepositKu, serta akan memohon skim itu dalam masa terdekat.

Terdahulu, Zuraida berkata, skim FundMyHome-DepositKu adalah penyelesaian kepada pembeli sudah mendaftar bawah skim FundMyHome yang tidak mampu menyediakan bayaran 20 peratus daripada harga rumah.

“Bawah skim FundMyHome, pembeli berpendapatan rendah dan tidak layak mendapat pinjaman perumahan tradisional daripada bank, hanya perlu membayar 20 peratus daripada harga rumah serta tidak perlu membayar apa-apa selama lima tahun.

“Skim FundMyHome-DepositKu pula membolehkan pembeli mendapatkan pinjaman hingga RM30,000 untuk membayar bayaran 20 peratus itu. Pinjaman berkenaan akan dibayar balik sepenuhnya pada akhir tahun kelima menduduki rumah,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh lima tahun tanpa bayaran semula itu, pembeli dapat menabung, sekali gus mengukuhkan kewangan mereka.

Pada majlis hari ini, Zuraida turut menyerahkan replika kunci kepada 19 pembeli rumah bawah skim FundMyHome di Semenyih.

Lebih 350 unit rumah di Pangsapuri Harmoni, di sini, dibina menerusi skim FundMyHome.

Skim FundMyHome dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada November tahun lalu bagi membantu pembeli rumah kali pertama. – BERNAMA

Berita Harian X