Khamis, 21 Februari 2019 | 12:21am
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah) menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Anugerah Pengeluar Filem Cemerlang di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto BERNAMA
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah) menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Anugerah Pengeluar Filem Cemerlang di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto BERNAMA

Rombakan Finas perkasakan industri filem negara - Gobind

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yakin rombakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dilakukan pada Disember lalu, mampu memperkasakan industri filem di negara ini.

Beliau berkata, pelantikan anggota Lembaga Pengarah baharu Finas, termasuk Panel Penasihat, dapat membantu menyelesaikan pelbagai isu serta masalah berbangkit dalam industri itu.

“Seperti semua maklum, saya sudah membuat rombakan besar dalam Finas. Satu perkara yang saya beri penekanan ialah memastikan ada wakil untuk semua dalam industri ini.

“Apa yang penting, kita mahu tukar pendekatan, di mana sekarang kita bekerjasama (dengan penggiat industri) dengan turun padang untuk memahami dan menyelesaikan masalah yang kita sedar wujud sejak sekian lama,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Anugerah Pengeluar Filem Cemerlang, di sini, malam tadi.

Disember lalu, kementerian mengumumkan barisan anggota baharu Finas dengan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) kementerian itu, Datuk Samsuni Mohd Nor, dilantik sebagai Pengerusi.

Gobind berkata, antara masalah membelenggu penggiat industri filem ialah isu hak cipta dan cukai.

“Bulan lalu, saya bertemu ramai penggiat seni dan mendapat banyak maklum balas. Maka, kita perlu lakukan banyak kerja,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Gobind mengingatkan pemain industri sentiasa mengikut trend dan teknologi terbaharu serta kemahiran pemasaran yang kreatif untuk mempromosikan produksi mereka, sesuai dengan keperluan industri hiburan global yang amat memerlukan bahan kandungan.

Beliau berkata, pemain industri di negara ini amat bertuah kerana Malaysia kaya dengan budaya dan kepelbagaian yang menawarkan banyak khazanah untuk penceritaan filem serta program televisyen. – BERNAMA

Berita Harian X