Khamis, 21 Februari 2019 | 11:29am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani buku pelawat ketika membuat lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini. Turut kelihatan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (dua, kiri), Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong (dua, kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Diraja Malaysia, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kanan). - Foto BERNAMA

RCI akan kaji dakwaan salah laku hakim - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan setuju dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan terbuka Badan Kehakiman membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

Perdana Menteri berkata, terpulang kepada suruhanjaya siasatan itu nanti cara bagaimana siasatan dan pendakwaan yang akan dibuat berhubung isu berkenaan.

"Terma rujukan mengenai suruhanjaya itu akan ditentukan kemudian, " katanya ditemui media selepas lawatan rasmi dan sesi ramah mesra bersama warga Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya keputusan Kabinet mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai campur tangan terbuka Badan Kehakiman membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

Pelbagai pihak mendesak supaya suruhanjaya siasatan ditubuhkan berikutan pendedahan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Persekutuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Ia termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Kumpulan peguam bebas turut mendakwa mengumpul bukti campur tangan beberapa hakim mahkamah rendah dalam beberapa isu sensitif membabitkan politik.

Jumaat lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan bersedia mengkaji keperluan diwujudkan suruhanjaya berkenaan berikutan pendedahan mengenai salah laku dan campur tangan hakim dalam keputusan mahkamah.

Berita Harian X