Khamis, 21 Februari 2019 | 4:34pm
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin semasa gimik perasmin Bangunan Ibu Pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Cyberjaya. - Foto Noora Atiqah Sulaiman
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin semasa gimik perasmin Bangunan Ibu Pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Cyberjaya. - Foto Noora Atiqah Sulaiman

Dasar Kebersihan Negara bakal dilaksanakan

CYBERJAYA: Dasar Kebersihan Negara akan digerakkan ke arah meningkatkan tahap kesedaran orang awam mengenai isu kebersihan di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata dasar berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan dengan menggariskan tiga komponen penting.

Katanya, ia merangkumi aspek teknologi, bagaimana menjadikan sampah sebagai sumber pendapatan dan meningkatkan martabat pekerja pembersihan.

“Saya sudah mengarahkan ketua setiausaha kementerian mengetuai penggubalan dasar ini supaya dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai isu kebersihan.

“SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) juga diminta memberi kesedaran atau pengetahuan bagaimana menukar sampah itu kepada sesuatu yang bernilai.

“Malah, SWCorp boleh meningkatkan mutu khidmat pekerja kebersihan dan membuat seberapa banyak program supaya status pekerja kebersihan tidak lagi dipandang jijik oleh orang awam.

“SWCorp juga boleh mengeluarkan persijilan kerja mahir dalam bidang berkenaan, seperti diajar teknik betul untuk menyapu atau sebagainya.

“Kita mahu pekerja kebersihan mencapai standard berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat SWCorp di sini, hari ini.

Setiap kali melawat negara luar, Zuraida akan melihat cara mereka menguruskan sampah atau sisa pepejal.

Katanya, teknologi yang digunakan negara ini masih mundur manakala masyarakat memandang pekerja pembersihan sebagai pekerjaan menjijikkan sedangkan keadaannya berbeza di luar negara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X