Khamis, 21 Februari 2019 | 6:54pm
Gobind berucap pada Majlis Pertemuan Bersama Media anjuran SUHAKAM, di Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Gubal undang-undang kawal media sosial

KUALA LUMPUR: Kerajaan meneliti kemungkinan menggubal undang-undang bagi menangani penyalahgunaan media sosial yang disifatkan semakin meruncing mutakhir ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata aspek lain yang turut dikaji ialah mekanisme terbaik bagi memantau tindakan didalangi individu tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi sosial media.

“Kita tidak menolak kemungkinan Malaysia bakal menggunakan pendekatan seperti negara luar, termasuk jiran terdekat Singapura.

“Singapura mempunyai Jawatankuasa Pemilih Khas yang ditubuhkan untuk meneliti isu ini, sebelum mengemukakan cadangan kepada Parlimen dan peringkat seterusnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Pertemuan Bersama Media anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), di sini.

Yang turut hadir, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin dan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail.

Gobind berkata, penggubalan rang undang-undang itu penting susulan lambakan laporan tanpa berasaskan fakta di media sosial yang dikhuatiri bakal mengundang masalah.

“Walaupun kita menekankan kepentingan kebebasan media, ia perlu mempunyai had menerusi penggubalan perundangan dengan meneliti cadangan berkaitan.

“Sepatutnya perlu ada kawalan kendiri, iaitu setiap bahan berita yang didapati di media sosial sebaiknya disahkan mengikut sumber rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi hak sepenuhnya kepada RTM untuk menentukan bentuk dan kandungan laporan mereka.

Bagaimanapun, beliau akan meneliti kesahihan dokumen panduan kandungan liputan dan siaran RTM bagi negeri ditadbir pembangkang seperti yang disebarkan di media sosial.

“Ia terpulang kepada mereka nak laporkan apa, bagaimana bentuk laporan mereka.

“Saya tidak tengok lagi yang yang dikatakan di Facebook, justeru ia akan diteliti dulu sebelum mengemukakan sebarang maklum balas,” katanya.

Berita Harian X