Sabtu, 23 Februari 2019 | 6:15pm
KETUA Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz mahu pengguna tingkatkan tahap kesedaran ketika mengisi minyak elak tragedi. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Tegur pengguna ingkar larangan di stesen minyak

SERI ISKANDAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pengusaha stesen minyak supaya tidak teragak-agak untuk menegur sikap pengguna yang ingkar terhadap peraturan dan larangan ketika mengisi bahan api bagi mengelak tragedi atau kemalangan.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz berkata, perkara itu ditegaskan berikutan tahap kesedaran pengguna di stesen minyak ketika ini dilihat masih perlu dipertingkatkan.

“Kita meminta pengusaha pam minyak memantau perkara ini kerana ia boleh membahayakan stesen minyak dan pengguna itu sendiri.

“Kita minta pengusaha dapat menegur dan menasihati pengguna yang tidak mempedulikan peraturan yang sudah jelas terpapar di setiap stesen minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum Peringkat Negeri Perak Tahun 2019 di Stesen Petronas Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagangan Berhad, Aadrin Azly.

Muez dalam pada itu berkata, pihaknya ketika ini juga sedang membuat kajian berkenaan keperluan sebenar jumlah stesen minyak di seluruh negara.

“Setakat ini terdapat sebanyak 3,500 stesen minyak di seluruh negara, jadi dengan kerjasama syarikat petroleum, kita mahu melihat sejauh mana industri ini boleh berkembang.

“Kita akan buat kajian keperluan sebenar stesen minyak seluruh negara, ia mengambil masa kerana hendak melihat keperluan minyak dan industri ini terutama di luar bandar, agar semua mendapat mendapat akses sama rata,” katanya.

Mengulas penganjuran program berkenaan, Muez berkata sejak program diwujudkan tahun 2010 kesedaran terhadap aspek keselamatan di stesen minyak dalam kalangan pengguna masih perlu dipertingkatkan lagi.

“Kesedaran itu memang ada tetapi perlu ditingkatkan kerana kita tidak mahu berlaku kemalangan atau kecederaan yang mungkin boleh mengakibatkan maut,” katanya selain turut meminta Pengarah KPDNHEP di setiap negeri memberi tumpuan kepada kempen kesedaran seperti itu.

Berita Harian X