Isnin, 25 Februari 2019 | 2:57pm

Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya 28 hingga 31 Mac

PUTRAJAYA: Belon udara panas berbentuk badut, sotong, robot dan gajah ialah antara tarikan pada Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya Ke-10 yang akan berlangsung di Presint 2, di sini, dari 28 hingga 31 Mac depan.

Selain itu, belon iglu bercahaya yang direka menggunakan bahan kitar semula seperti belon udara panas terpakai, akan turut ditampilkan sebagai tarikan terbaharu dan diletakkan di zon merah jambu dari jam 7 petang hingga 10 malam.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata lebih 20 belon udara panas akan dikendalikan juruterbang antarabangsa dari 14 negara sepanjang fiesta itu.

Antara negara menyertai program itu ialah Sepanyol, Slovakia, Brazil, Australia, Jepun, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan dan Taiwan.

Beliau berkata, fiesta itu akan menjadi platform membuktikan bahawa Putrajaya bukan sahaja pusat pentadbiran kerajaan tetapi juga sebagai satu destinasi pelancongan.

“Bagi pihak PPj, kami sangat teruja menantikan fiesta ini berlangsung dan mengalu-alukan pengunjung datang bersama keluarga.

“Pengunjung bukan saja dapat melihat belon udara panas yang dihiasi dengan pelbagai warna, malah boleh menyaksikan keindahan di Putrajaya.

“Fiesta belon udara panas ini adalah salah satu acara utama disenaraikan dalam Kalendar Acara Perbadanan Putrajaya 2019. Ia akan menjadi acara tahunan,” katanya ketika berucap melancarkan fiesta berkenaan, di sini, hari ini.

Malah, Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya akan mengembalikan acara ‘night glow’ yang mana belon udara panas akan dinyalakan secara serentak mengikut iringan muzik dan pertunjukan bunga api.

AMINUDDIN bersama Pengerusi MyBallonFiesta Mohammad Sobri Saad ketika menaiki belon udara panas pada Majlis Pelancaran Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2019 ke 10 di Kompleks Perbadanan Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X