Isnin, 25 Februari 2019 | 10:40pm
Menteri Perdagangan Dan Industri Norway, Thorbjorn Roe Isaksen (kanan) melawat ladang kelapa sawit Sime Darby Plantation di Pulau Carey, hari ini. Turut hadir Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim (dua, kiri). - Foto BERNAMA
Menteri Perdagangan Dan Industri Norway, Thorbjorn Roe Isaksen (kanan) melawat ladang kelapa sawit Sime Darby Plantation di Pulau Carey, hari ini. Turut hadir Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim (dua, kiri). - Foto BERNAMA

Norway tidak bercadang larang minyak sawit, kata Menteri Perdagangan Norway

BANTING: Kerajaan mahupun Parlimen Norway tidak pernah mengusulkan untuk mengenakan larangan ke atas minyak sawit, kata Menteri Perdagangan dan Perindustrian Norway, Torbjørn Røe Isaksen.

“Apabila berbincang khususnya mengenai minyak sawit, adalah menarik untuk mengetahui bagaimana kerajaan (Malaysia) dan sistem perniagaannya beroperasi dengan sistematik untuk membangunkan piawaian bagi kelestarian bagi mewujudkan nilai dan produk lebih baik secara mampan.

“Terdapat beberapa perbincangan di Malaysia akhir-akhir ini mengenai dasar Norway berhubung minyak sawit dan saya mahu nyatakan bahawa ia sangat mudah dan jelas.

“Tidak pernah ada sebarang usul sama ada daripada kerajaan Norway atau Parlimen Norway untuk melarang minyak sawit, tidak pernah ada usul itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Ladang Barat Sime Darby di Pulau Carey di sini, hari ini.

Isaksen dan delegasinya yang tiba di Malaysia hari ini membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Industri Utama, Teresa Kok sebelum dibawa melawat ladang dan kilang memproses sawit.

Lawatan itu turut disertai Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset.

Isaksen berkata lawatan itu memberikan pelbagai perkongsian maklumat antara kedua-dua pihak mengenai perladangan sawit dan kepentingannya kepada ekonomi Malaysia selain usaha kerajaan menghasilkan industri sawit yang mampan.

Sementara itu Kok berkata kunjungan hormat Isaksen akan mengeratkan lagi hubungan perdagangan antara kedua-dua negara khususnya berkaitan industri sawit.

“Saya gembira dengan lawatan delegasi dari Norway dan berharap ia mampu menjadi contoh kepada negara Eropah lain untuk turut bekerjasama dengan Malaysia bagi membantu membangunkan pekebun kecil kelapa sawit dengan memenuhi syarat memelihara alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Kok berkata kunjungan hormat Isaksen turut membawa surat balas daripada Perdana Menteri Norway Erna Solberg sebagai maklum balas kepada surat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini untuk menjelaskan pendirian Malaysia berhubung undi oleh Parlimen Norway mengenai minyak sawit.

Ditanya sama ada kandungan surat itu memberikan maklum balas positif, Kok berkata,”Saya belum membacanya. Biar perdana menteri (Tun Dr Mahathir) yang baca.”

Sementara itu, Kok berkata jumlah nilai import minyak dan produk berasaskan kelapa sawit oleh Norway juga meningkat kepada RM4.83 juta tahun lepas berbanding RM2.14 juta pada 2017. – BERNAMA

Berita Harian X