Selasa, 26 Februari 2019 | 2:02pm

Pegawai, pakar perubatan lancar petisyen wajib ambil vaksin

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pegawai dan pakar perubatan yang giat membendung mitos perubatan di laman sosial, Medical Mythbusters Malaysia (M3) semalam melancarkan kempen petisyen mewajibkan pengambilan vaksin Program Imunisasi Kebangsaan.

Kempen bertujuan mengumpul sokongan umum itu diwujudkan berikutan peningkatan penularan penyakit cegahan vaksin seperti demam campak (measles) dan difteria yang dikesan semakin mengancam kesihatan rakyat Malaysia hari ini.

Pertubuhan yang terdiri daripada pegawai dan pegawai perubatan kerajaan serta swasta itu turut melancarkan kempen terbabit berikutan kewujudan golongan yang digelar antivaksin yang bukan saja menolak suntikan vaksin, malah dikesan mempengaruhi ibu-bapa di negara ini.

Timbalan Pengerusi M3, Dr Mohd Syamirulah Rahim, berkata pihaknya memandang serius terhadap peningkatan penyakit cegahan vaksin termasuk kes baharu di Johor Bharu, Johor yang mengakibatkan kematian.

“Cadangan mewajibkan vaksin bukanlah perkara yang baharu kerana ia sudah dilaksanakan di luar negara termasuk California, Amerika Syarikat sejak 2015, susulan wabak demam campak yang meletus di sana pada 2014.

“Di Australia terdapat dasar ‘No Jab No Pay’, yang mana ibu bapa yang tidak memvaksin anak tidak akan diberikan manfaat berbentuk subsidi serta tidak dibenarkan mendaftarkan anak ke tadika,” katanya.

Dr Mohd Syamirulah berkata Malaysia tidak sepatutnya menunggu sehingga terjadinya wabak besar-besaran seperti yang berlaku di Filipina dan Madagascar untuk mengambil tindakan mewajibkan vaksin.

“Langkah awal perlu diambil dan bertepatan dengan masanya supaya dapat mencegah kehilangan nyawa yang lebih besar,” katanya.

Kata beliau, inisiatif M3 itu difahamkan turut disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Public Health Malaysia, Delegation of Nurses Malaysia dan The Dressar & Co.

Sehingga jam 1 tengah hari tadi, 76,220 petisyen di pautan, http://chng.it/Nw4pZSdx (www.change.org) sudah ditandatangani orang ramai dan M3 menjangkakan lebih 150,000 orang bakal memberi sokongan.

Berita Harian X